Topik diikuti
Pergi ke BHkuSertai Inter Miami, Casemiro dahagakan kejuaraan bersama Messi
Sertai Inter Miami, Casemiro dahagakan kejuaraan bersama Messi
Pemilik kelab, Jorge Mas tegas pemindahan pemain asal Brazil dibuat ikut peraturan
Sertai Inter Miami, Casemiro dahagakan kejuaraan bersama Messi
MIAMI: Pemain tengah Brazil, Casemiro, menegaskan beliau masih dahagakan kejayaan dan kejuaraan walaupun memilih meneruskan kerjayanya bersama kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS), Inter Miami.
Bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu diperkenalkan secara rasmi pada 30 Julai selepas menyertai Inter Miami sebagai ejen bebas menerusi kontrak sehingga musim MLS 2027, dengan pilihan lanjutan sehingga Jun 2029.
Pemain berusia 34 tahun itu, yang turut mewakili Brazil pada Piala Dunia 2026, melahirkan penghargaan kepada pemilik kelab, Jorge Mas, rakan pemilik David Beckham, serta semua pihak yang berusaha membawanya ke Miami.
Beliau turut mengakui rasa teruja dapat bergandingan dengan kapten Argentina, Lionel Messi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga Mas, David Beckham dan semua yang berusaha membawa saya ke sini. Sudah tentu juga kepada Leo Messi, pemain terbaik dalam sejarah.
“Adalah satu penghormatan buat saya dapat berada di sini,” katanya.
Walaupun meninggalkan pentas bola sepak Eropah, Casemiro menegaskan semangatnya untuk terus bersaing dan memenangi trofi tidak pernah luntur.
“Keinginan saya untuk menjadi yang terbaik dan memenangi kejuaraan tidak pernah berubah. Dalam bola sepak kita tidak tahu sama ada akan menang atau kalah, tetapi dedikasi dan komitmen saya akan sentiasa sama,” katanya.
Menurut Casemiro, Inter Miami sememangnya destinasi pilihannya.
“Saya dan keluarga memang mahukan Inter Miami. Kami mengenali bandar ini dan juga Amerika. Kami benar-benar menyukai tempat ini,” katanya.
Beliau turut mengakui sudah mula menyesuaikan diri selepas membuat penampilan sulung ketika membantu Inter Miami menewaskan Montreal 1-0 pada 26 Julai, selain berterima kasih kepada penyokong atas sambutan yang diberikan.
Sementara itu, pemilik pengurusan Inter Miami, Jorge Mas, menjelaskan pemindahan Casemiro dibuat mengikut peraturan discovery rights MLS ketika liga berkenaan masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan berlaku pelanggaran prosedur dalam urusan pemindahan pemain itu.
Mengikut peraturan MLS, sesebuah kelab perlu mendapatkan hak rundingan daripada kelab lain yang terlebih dahulu mendaftarkan seseorang pemain dalam senarai Discovery sebelum boleh memeterai kontrak dengannya di luar proses draf atau status ejen bebas.
Sebelum ini, LA Galaxy memegang hak keutamaan terhadap Casemiro.
MLS mengesahkan Inter Miami dan LA Galaxy telah mencapai penyelesaian berhubung hak tersebut, namun butiran perjanjian hanya akan didedahkan selepas siasatan selesai.
Liga itu juga belum memaklumkan kemungkinan hukuman atau tempoh siasatan akan diselesaikan.
Mas berkata banyak laporan media tidak menjelaskan secara tepat bagaimana sistem Discovery List MLS berfungsi kerana senarai berkenaan adalah sulit dan tidak boleh diakses oleh kelab lain mahupun pemain.
“Jabatan sukan kami tidak mengetahui pemain yang berada dalam senarai kelab lain. Kami tidak tahu sama ada seseorang pemain itu berada dalam senarai tersebut, dan pemain sendiri juga tidak mengetahuinya,” katanya.
Menurut beliau, Inter Miami hanya menghubungi pihak MLS selepas mengenal pasti minat untuk mendapatkan Casemiro, sebelum dimaklumkan bahawa LA Galaxy memiliki hak keutamaan terhadap pemain itu.
“Kami tidak mengadakan sebarang rundingan atau berbincang dengan wakil Casemiro sehingga kami diberikan lampu hijau,” kata Mas. – Agensi berita.