Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO Persisi, Sheik Alau’ddin, ditangkap kerana disyaki pecah amanah

Nov 25, 2023 | 10:12 PM
BANTU SIASATAN: CEO Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau’ddin Yacoob Marican, kini membantu Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dalam siasatan dakwaan pecah amanah.
BANTU SIASATAN: CEO Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau’ddin Yacoob Marican, kini membantu Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dalam siasatan dakwaan pecah amanah. - Foto fail

Juara silat sedunia buat dua kali dan pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik Tahunan sebanyak empat kali, Sheik Alau’ddin Yacoob Marican, yang kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), sedang membantu Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dalam siasatan.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, polis menjelaskan: “CEO Persisi telah ditangkap pada 23 November 2023 kerana disyaki melakukan pecah amanah.”

Polis bagaimanapun tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Jurucakap Persisi mengesahkan bahawa Sheik, 56 tahun, sedang membantu CAD dengan siasatan menyusuli satu laporan polis yang dibuat Persisi pada Februari 2023 mengenai ketidakteraturan kewangan dalam pertubuhan itu.

Persisi, jelasnya, akan bekerjasama dengan CAD bagi siasatan itu apabila diperlukan.

Pada Februari, media melaporkan bahawa Persisi telah membuat laporan polis terhadap pengarah kewangannya menyusuli dakwaan terdapat ketidakaturan bayaran gaji beberapa jurulatih. Individu berkenaan telah digantung tugasnya oleh Persisi sebelum berundur pada Mac.

Persisi kemudian menjelaskan ia telah diberitahu agensi sukan nasional, Sport Singapore (SportSG), bahawa terdapat ketidakaturan dalam amalan kewangan persekutuan itu. Pemeriksaan selanjutnya mendedahkan maklumat yang menimbulkan keprihatinan.

Persisi menyatakan ia akan menyemak proses dalaman dan memperkukuh sistemnya.

Pada 23 November, Persisi memberitahu wartawan bahawa hari media bagi Kejuaraan Pencak Silat Sedunia dan Kejuaraan Pencak Silat Junior Sedunia antara 27 hingga 31 Disember yang dipimpin Sheik di Hotel Peninsula Excelsior Singapore dan dijadualkan pada 24 November akan ditetapkan pada tarikh lain.

Beliau dijadualkan menjelaskan tentang undang-undang baru buat dua kejuaraan itu.

Jurucakap SportSG berkata pihaknya tahu tentang siasatan yang sedang dijalankan CAD ke atas ketidakaturan kewangan Persisi yang melibatkan CEO-nya sambil menambah SportSG sedang bekerjasama dengan Persisi bagi melindungi persekutuan itu daripada risiko kewangan lanjutan sambil memberi jaminan pesilat Team Singapore akan terus disokong dalam keperluan latihan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg