Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chelsea jaya seri 1-1 dengan Arsenal, walau hanya 10 pemain

Dec 1, 2025 | 2:45 PM
Mikel Merino, pemain tengah Arsenal, menanduk bola ke arah pintu gol ketika menentang Chelsea dalam perlawanan derby London pada 30 November 2025.
Mikel Merino, pemain tengah Arsenal, menanduk bola ke arah pintu gol ketika menentang Chelsea dalam perlawanan derby London pada 30 November 2025. - Foto AFP

LONDON: Walaupun bermain dengan hanya 10 pemain, Chelsea berjaya mengikat Arsenal dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan derby London yang sengit pada 30 November.

Pemain Arsenal, Mikel Merino, membatalkan jaringan pendahuluan oleh pemain Chelsea, Trevoh Chalobah, untuk mengelakkan pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu daripada dimalukan.

Keputusan itu bermakna Arsenal berada lima mata di puncak liga dengan 30 mata, di hadapan Manchester City yang berada di tempat kedua, dengan Chelsea pula berada di tempat ketiga dengan 24 mata.

Arsenal pada mulanya ketinggalan apabila pemain pertahanan Chalobah menanduk masuk bola ke gawang hasil sepakan sudut tepat oleh kapten Reece James, tiga minit selepas rehat.

Chelsea semakin yakin dan menyerang sehinggalah pemainnya, Moises Caicedo, dibuang padang pada minit ke-38 selepas pemeriksaan video pembantu pengadil (VAR), kerana melakukan terjahan keras ke atas buku lali Merino.

Arsenal membalas apabila Merino bangkit untuk menerima hantaran lintang Bukayo Saka pada minit ke-59.

Mereka bekerja keras untuk mendapatkan gol kemenangan dengan pemain gantian, Martin Odegaard, hampir menjaringkan dua gol dan Merino pula memaksa Robert Sanchez menyelamatkan percubaannya pada saat-saat akhir.

Merino berkata Chelsea “bermain dengan struktur yang baik, tahu cara bertahan dan mereka mempunyai pemain bermutu”.

“Namun, saya fikir jika kami bermain lebih baik sedikit, kami boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada pertahanan mereka. Saya fikir pasukan Arsenal bertindak balas dengan baik terhadap gol itu,” katanya lagi.

Perlawanan itu merupakan perlawanan derby yang sengit sejak awal permainan. Beberapa pergaduhan kecil telah menyebabkan pengadil Anthony Taylor mengeluarkan tujuh kad kuning – enam buat Arsenal dan satu untuk Marc Cucurella daripada Chelsea yang menerkam tumit Saka.

Kapten Chelsea, James, berkata: “Sesuatu yang mengecewakan kerana hanya mendapat satu mata.

“Kami terpaksa bermain dengan 10 pemain pada awal perlawanan dan itu menjadikannya lebih sukar.”

James berkata beliau berbangga dengan cara Chelsea menyerap tekanan dan menyerang balas pihak lawan.

Pedro Neto sentiasa sibuk di bahagian kanan dan pemain gantian, Liam Delap, mempunyai peluang cantik pada minit ke-78 tetapi berjaya diselamatkan oleh David Raya.

“Jika anda melihat jumlah kad kuning yang ada, saya fikir akan ada satu lagi kad merah. Ia adalah perlawanan derby London, semua orang mahu memenangi perlawanan ini,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg