Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Chelsea mungkin disiasat berkaitan pembayaran oleh bekas pemilik

Abramovich dilapor guna firma luar pesisir bayar puluhan juta paun kepada ejen, rakan sekutu; kelab boleh didenda, kena potongan mata jika langgar peraturan kewangan
Nov 16, 2023 | 03:45 PM



LONDON: Chelsea mungkin menghadapi siasatan lanjut oleh pihak berkuasa bola sepak berhubung laporan mengenai pembayaran yang dikaitkan dengan bekas pemilik kelab itu, Roman Abramovich.


Akhbar The Guardian melaporkan fail yang dibocorkan menunjukkan jutawan Russia itu menggunakan syarikat luar pesisir dalam menjalankan urus niaga berpuluh juta paun kepada ejen dan rakan sekutu yang kelihatan untuk faedah kelab itu, dan mungkin telah melanggar peraturan kewangan jika ia tidak diisytiharkan secara rasmi.


Pendedahan itu mungkin meningkatkan soalan bagaimana Abramovich, pemilik Chelsea selama 19 tahun hingga beliau dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain pada 2022, membiayai kelab yang mengecap kejayaan yang belum pernah dialami kelab itu sebelumnya.

Kedua-dua Persatuan Bola Sepak (FA) dan Liga Perdana sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran peraturan kewangan oleh kelab itu.

Chelsea didenda £8.6 juta ($14.4 juta) oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada Julai sebagai sebahagian daripada penyelesaian mengenai melanggar Peraturan Kewangan yang Adil (FPP) kerana “menyerahkan maklumat kewangan tidak lengkap” antara 2012 dengan 2019.

Pelanggaran tersebut dilaporkan oleh pemilik baru Stamford Bridge berikutan penjualan kelab itu kepada konsortium yang diketuai pelabur Amerika Syarikat, Todd Boehly, dan firma ekuiti swasta, Clearlake Capital.

FA dan Liga Perdana enggan mengulas semasa siasatan sedang dijalankan.

Tidak jelas pada peringkat ini sama ada siasatan mereka berkaitan maklumat yang dilaporkan sendiri oleh Chelsea atau termasuk dakwaan baru yang dilaporkan The Guardian.


Jurucakap Chelsea berkata: “Dakwaan itu berlaku sebelum kelab di bawah pemilik sekarang.

“Ia berdasarkan dokumen yang tidak ditunjukkan kepada kelab ini dan tidak ada kaitan dengan sembarang individu dalam kelab ini sekarang.”

Beliau berkata semasa pembelian kelab itu, pemilik sekarang mendapat tahu tentang “laporan kewangan yang mungkin tidak lengkap mengenai transaksi lama semasa kelab di bawah pemilik sebelumnya”.

Jurucakap itu menambah: “Sejurus selepas pembelian selesai, kelab ini secara proaktif melaporkan sendiri perkara ini kepada semua pengawal selia bola sepak yang berkenaan.

“Selaras dengan prinsip teras kumpulan pemilikan kelab, iaitu pematuhan dan ketelusan penuh, kelab ini secara proaktif membantu pengawal selia yang berkenaan dalam siasatan mereka dan akan terus berbuat demikian.”

Abramovich membeli Chelsea pada 2003 dan melabur berjuta-juta paun hampir dua dekad ketika kelab itu memenangi Liga Juara-Juara pada 2012 dan 2021, serta lima gelaran Liga Perdana.

Beliau terpaksa menjual kelab itu pada 2022 selepas asetnya dibekukan oleh kerajaan Britain berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Chelsea boleh didenda dan dikenakan potongan mata jika didapati bersalah melanggar peraturan kewangan.

Awal minggu ini, BBC melaporkan dokumen bocor mendedahkan jejak wang yang mengaitkan Abramovich dengan dua lelaki yang digelar “dompet” oleh Presiden Russia, Vladimir Putin.


BBC Newsnight, BBC Verify dan Panorama bekerjasama dengan Biro Kewartawanan Penyiasatan untuk membongkar pendedahan itu sebagai sebahagian daripada Cyprus Confidential, iaitu penyiasatan sejagat yang diketuai oleh wartawan di Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) dan Paper Trail Media.


Mereka mendakwa bahawa dokumen bocor dari Cyprus mendedahkan bukti baru yang mengaitkan Abramovich dengan satu perjanjian rahsia berjumlah £26 juta pada 2010.


Abramovich sebelum ini menafikan sebarang hubungan kewangan dengan pemimpin Russia itu.

Beliau belum menjawab permintaan BBC untuk memberi komen. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >