Topik diikuti
Pergi ke BHkuCiro Immobile bersara pada usia 36 tahun
PARIS: Penyerang Italy, Ciro Immobile, yang membantu negaranya menjuarai Euro 2020, mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada usia 36 tahun.
Beliau mengumumkan perkara berkenaan menerusi video yang disampaikannya kepada rakan sepasukannya di Paris FC, kelab Ligue 1 Perancis, yang disertainya Januari lalu (2026).
“Ini detik yang sangat sukar kerana ia menandakan berakhirnya antara fasa terbaik dalam hidup saya.
“Saya menyayangi pekerjaan ini sepenuh hati, tetapi perlu jujur dengan diri sendiri mengenai keadaan saya sekarang,” katanya.
Immobile mengakui semakin sukar untuk memberikan sepenuhnya apabila tubuhnya tidak lagi mampu menanggung tuntutan latihan dan perlawanan.
“Jika saya tidak lagi mampu berjuang ketika menahan kesakitan dan menjalani latihan serta memberikan yang terbaik, ia menjadi sesuatu yang sukar,” katanya.
Bekas penyerang Lazio itu mengakui keputusan menggantung but bukan mudah, namun tiba masanya memberi lebih perhatian kepada keluarga yang banyak berkorban sepanjang kerjayanya.
“Ia bukan keputusan mudah kerana anda semua insan yang luar biasa, sebuah keluarga yang hebat.
“Tetapi bagi saya, sudah tiba masanya meluangkan masa bersama keluarga. Mereka mengikuti saya ke mana sahaja. Saya memerlukan mereka selama 17 tahun dan kini mereka memerlukan saya,” katanya.
Sepanjang kerjayanya, Immobile menjaringkan 350 gol dalam 656 penampilan bersama beberapa kelab.
Kemuncak kerjayanya bersama Lazio menyaksikan beliau meledak dengan jaringan 207 gol dalam 340 perlawanan dari 2016 hingga 2024, menjadikannya pemegang rekod jaringan terbanyak dalam sejarah kelab Italy itu.
Immobile turut beraksi di luar Italy bersama Borussia Dortmund dari 2014 hingga 2016, Sevilla pada 2016 dan Besiktas di Turkiye.
Di peringkat antarabangsa, Immobile meraih 57 ‘caps’ bersama Italy dan membantu skuad itu menjuarai Euro 2020, yang ditangguhkan ke 2021 akibat pandemik Covid-19. - Agensi berita
