City bakal berentap dengan Liverpool pada suku akhir Piala FA
City bakal berentap dengan Liverpool pada suku akhir Piala FA
LONDON: Manchester City akan bersemuka dengan Liverpool pada suku akhir Piala FA, manakala pendahulu Liga Perdana England (EPL) Arsenal pula akan berkunjung ke pasukan divisyen dua Southampton susulan undian pada 9 Mac.
City kendalian Pep Guardiola memastikan tempat ke suku akhir mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas Newcastle United pada 7 Mac, manakala Liverpool mara dengan kemenangan 3-1 ke atas Wolverhampton Wanderers.
City telah mara ke suku akhir untuk musim kelapan berturut-turut dan kekal di landasan untuk penampilan keempat berturut-turut di final Piala FA sedang mereka mengejar empat gelaran yang sukar dicapai.
Sepanjang musim ini, City sudah dua kali menewaskan Liverpool, iaitu kemenangan 3-0 di Manchester pada November 2025 dan 2-1 di Anfield pada Februari.
Ia juga menjadi pertemuan pertama kededua kelab dalam Piala FA sejak Liverpool menang 3-2 pada separuh akhir edisi 2022.
Liverpool yang menewaskan Wolves 3-1 pada pusingan 16 terakhir sudah menjulang trofi Piala FA lapan kali, dengan kali terakhir pada 2022.
Pemenang tujuh kali City pula kali terakhir menjulang trofi itu pada 2023.
Pemenang Piala FA sebanyak 14 kali, Arsenal, akan bertandang ke Southampton manakala pasukan Mikel Arteta juga memburu empat gelaran selepas, dan seperti City, mara ke perlawanan akhir Piala Liga dan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.
Kelab tercorot divisyen tiga, Port Vale, berjaya mencipta kejutan pada pusingan kelima pada 8 Mac dengan menewaskan Sunderland 1-0 tetapi berdepan cabaran besar di Chelsea, yang menewaskan pasukan tuan rumah Wrexham dalam perlawanan masa tambahan 4-2 pada 7 Mac.
Leeds United pula akan menemui West Ham United selepas pasukan London itu menumbangkan pasukan pelawat Brentford pada 9 Mac.
West Ham mara ke suku akhir Piala FA selepas menang 5-3 menerusi penentuan penalti ke atas Brentford, yang menerima padah akibat kesilapan penalti Dango Ouattara.
Pasukan kendalian Nuno Espirito Santo mendahului dua kali menerusi dua gol Jarrod Bowen, namun Igor Thiago menyamakan kedudukan dua kali untuk memaksa perlawanan di Stadium London itu berlanjutan ke masa tambahan.
Namun ketika penentuan penalti, pemain sayap Brentford, Ouattara cuba melakukan sepakan ‘ala Panenka’ tetapi percubaannya yang lemah menuju tepat ke arah penjaga gol West Ham, Alphonse Areola.
Kesilapan pemain antarabangsa Burkina Faso itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh West Ham.
Konstantinos Mavropanos menyempurnakan sepakan penalti penentu untuk memastikan kemenangan West Ham 5-3 ke atas Brentford.
West Ham akan menentang Leeds pada April untuk merebut tempat ke separuh akhir.
Ia adalah penampilan pertama kelab London timur itu pada suku akhir Piala FA dalam tempoh 10 tahun. – Agensi berita.

