Port Vale singkirkan Sunderland 1-0 dalam Piala FA untuk mara ke suku akhir

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Port Vale singkirkan Sunderland 1-0 dalam Piala FA untuk mara ke suku akhir

Ben Waine jaringkan gol tunggal untuk bantu Port Vale raih kemenangan
Mar 9, 2026 | 12:58 PM

Port Vale singkirkan Sunderland 1-0 dalam Piala FA untuk mara ke suku akhir

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Port Vale, Sunderland, League 1, FA Cup
Pemain Port Vale, Ben Waine (dua dari kanan), menjaringkan gol kemenangan melepasi penjaga gol Sunderland, Melker Ellborg, di Vale Park, Staffordshire, England, dalam perlawanan Piala FA pusingan kelima pada 8 Mac. - Foto REUTERS

STAFFORDSHIRE (England): Menduduki tangga terbawah Liga Satu dan ketinggalan 11 mata daripada zon selamat, perjalanan Port Vale dalam kempen liga itu setakat ini sememangnya mengecewakan.

Namun perjalanan mereka dalam kejohanan Piala FA pula amat berbeza.

Kemenangan mengejut 1-0 ke atas pasukan Liga Perdana, Sunderland, pada 8 Mac membawa Vale mara ke suku akhir Piala FA buat kali kedua dalam sejarah kelab itu.

Perbezaan antara keputusan mereka dalam perlawanan liga dengan piala juga amat ketara.

Kemenangan Vale ke atas kelab yang dikenali sebagai The Black Cats itu merupakan kemenangan ketujuh mereka dalam dua kejohanan piala utama – iaitu Piala FA dan Piala Carabao.

Manakala dalam perlawanan liga, mereka hanya mencatat enam kemenangan daripada 32 perlawanan.

Musim ini, Vale turut menjaringkan sama banyak gol dalam kejohanan piala seperti dalam liga.

Pengurus Vale, Jon Brady, yang masih terkejut ketika ditemui selepas perlawanan, berkata pemain kini “membuktikan kemampuan mereka” dan berharap mereka dapat memperbaiki prestasi dalam liga.

Lima daripada enam kemenangan mereka dalam liga dicatatkan pada 2026, dengan empat daripadanya diraih sejak Brady mengambil alih jawatan pengurus pada Januari lalu.

Kemenangan ke atas Sunderland bukan sahaja sesuatu yang mengagumkan, malah ia diraih sejurus selepas kemenangan 1-0 pada 3 Mac ke atas Bristol City dalam pusingan keempat.

“Ini merupakan minggu terbaik untuk Port Vale – menewaskan pasukan Kejohanan Bristol City pada 3 Mac, kemudian menewaskan pasukan Liga Perdana hari ini,” kata bekas penyerang Brighton, Glenn Murray, yang juga pengulas sukan Match of the Day pada 8 Mac.

“Meskipun prestasi mereka dalam liga belum cukup memuaskan, mereka menunjukkan prestasi hebat hari ini dan ia satu lagi kejutan yang tidak dapat dilupakan dalam Piala FA musim ini.”

Dalam ranking liga profesional England, pasukan Liga Perdana berada di tangga teratas, diikuti oleh Kejohanan, Liga Satu dan Liga Dua. 

Vale, yang bermain dalam Liga Satu, menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menewaskan pasukan Liga Perdana, Sunderland, dan pasukan Kejohanan, Bristol City.

Kemenangan itu menjadi lebih manis bagi penjaring gol, Ben Waine, 24 tahun, kerana sejak kecil beliau merupakan peminat pasukan musuh besar Sunderland, iaitu Newcastle.

Penyerang dari New Zealand itu menjaringkan gol yang membawa Port Vale ke suku akhir buat kali pertama sejak 1954, meskipun Waine berkata beliau tidak menyedari mereka telah mara ke peringkat lapan pasukan terakhir.

“Sejujurnya, saya tidak perasan kita telah mara ke suku akhir! Saya baru tahu tentang itu. Memang menakjubkan,” katanya kepada BBC Sport selepas perlawanan.

Gol kemenangan ke atas Bristol City turut dijaringkan oleh Waine.

Pengurus mereka juga berkongsi perkara yang sama, dengan berkata: 

“Saya juga belum tengok pasukan mana yang mara. Saya tidak percaya kita sudah mara ke pasukan 16 terakhir dan kemudian pasukan lapan terakhir. Memang seronok dapat mencipta sejarah, tidak begitu?”

Mengenai kejayaan menyingkirkan Sunderland, Waine, menambah:

“Memang tidak ada yang lebih baik daripada itu (kejayaan mara ke suku akhir). Ia sesuatu yang saya tidak pernah impikan, dan apabila ia jadi begitu, saya rasa keluarga saya pasti gembira!”

Kemenangan itu menjadikan Port Vale sebagai pasukan ranking terendah dalam peringkat lapan pasukan terakhir, dengan pasukan Liga Satu lain, Mansfield Town, telah tewas 1-2 dengan Arsenal pada 7 Mac.

Meskipun prestasi mereka dalam liga musim ini masih jauh daripada memuaskan, Waine berkata selepas “musim yang sukar”, peningkatan baru-baru ini memberi mereka keyakinan untuk menewaskan segala kemungkinan.

“Sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini, kami telah bersatu sebagai satu pasukan dan menemui sesuatu yang mendorong kami ke depan. Kami kekal bersatu,” kata Waine. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg