Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

City besar kemungkinan ditabal juara, Arsenal walau hampa boleh bangga dengan pencapaian

Penyokong kelab lain seperti Spurs, Chelsea dan Man U punya masa sehingga 11 Ogos untuk pulih daripada kekecewaan
May 19, 2024 | 5:30 AM
 Pep Guardiola
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, dan anak buahnya bakal ditabal juara EPL buat empat musim berturut-turut. - Foto REUTERS

Liga Perdana England (EPL) menutup tirainya malam ini, dengan destinasi piala kejuaraan liga masih belum pasti... Sekurang-kurangnya dari segi kiraan mata.

Manchester City kini mendahului liga dengan 88 mata, manakala di tempat kedua pula ialah Arsenal dengan 86 mata.

Kemenangan City dalam perlawanan terakhirnya menentang West Ham malam ini (11 malam waktu Singapura) di Stadium Etihad akan memastikan pasukan pimpinan Pep Guardiola itu kejuaraan EPL ke-empat berturut-turut – pencapaian yang tidak pernah dikecapi mana-mana pasukan dalam sejarah liga England.

Ramai penyokong neutral mungkin mengharapkan kejayaan Arsenal musim ini, lebih-lebih lagi setelah pasukan pimpinan Mikel Arteta itu mempamerkan permainan yang menarik berteraskan serangan dan konsisten yang boleh dibanggakan sepanjang musim.

Namun, sedang Manchester City kurang meyakinkan pada awal musim, mereka tetap berjaya mendapatkan kemenangan demi kemenangan dan dalam minggu-minggu terakhir liga menunjukkan pengalaman mereka dengan meningkatkan prestasi bagi memastikan mereka berjaya melepasi garisan penamat sebagai pasukan pilihan untuk digelar juara.

“City mempamerkan pengalaman dan kehebatan mereka. Rekod Pep dalam 10, 20 perlawanan liga menakjubkan, menunjukkan konsistensi yang sukar ditandingi. Meskipun mereka tidak bermain pada kadar 100 peratus, mereka tetap mampu mendapatkan tiga mata.

“Itulah juara sebenar – tetap mampu memenangi perlawanan meskipun tidak bermain dengan baik,” kata bekas pemain Liverpool yang kini pengulas bola sepak, Jamie Carragher.

Sebagai peminat setia Tottenham Hotspur, saya sendiri gembira sekiranya Arsenal dihampakan sekali lagi dalam perlumbaan memenangi kejuaraan liga buat dua musim berturut-turut dan mengakhiri musim 2023/24 dengan tangan kosong.

Namun, secara objektif, pasukan Gunners ini mungkin wajar memenangi kejuaraan liga memandangkan mereka mempunyai ramai barisan pemain muda, sedangkan pasukan City pula ditaburi bintang.

“Dari segi emosi, saya mahu Arsenal menang kerana apa yang Arteta berjaya lakukan dengan kumpulan pemain muda ini, wajar mendapat ganjarannya,” kata bekas kapten Manchester United, Gary Neville, yang menang lapan kejuaraan liga.

“Bukan itu sahaja, pasukan Arsenal ini telah melalui satu proses pembangunan dan kejayaan mereka akan mencerminkan bagaimana proses perancangan, kesabaran dan strategi jangka panjang mampu membuahkan hasil,” tambah beliau.

Dalam landskap bola sepak elit yang mahukan kejayaan hampir sekelip mata, dengan pasukan bertukar pengurus setiap beberapa musim kerana mengejar kejayaan jangka pendek, kisah Arsenal adalah sesuatu yang bermakna dan menyegarkan.

Sekiranya Arsenal memang dalam perlawanan terakhirnya menentang Everton, mereka akan mengakhiri musim dengan 89 mata.

City pula, jika menang menentang West Ham, akan memenangi kejuaraan liga dengan 91 mata.

Dengan 89 mata pada musim-musim lain umumnya boleh menjamin piala EPL akhirnya dibawa ke Stadium Emirates setelah dua dekad, dengan kejayaan terakhir mereka ialah pada 2004 di bawah pimpinan jurulatih Perancis, Arsene Wenger.

Ini menunjukkan betapa standard EPL telah meningkat sejak sedekad lalu dan khususnya sejak beberapa tahun lalu dengan City terus mempamerkan kegagahan mereka, dibiayai dana yang tidak putus-putus daripada pemilik mereka dari Qatar.

Standard tinggi ini dipamerkan dengan kegagalan pasukan Liverpool – yang diakui antara terkuat di Eropah – gagal memberikan cabaran sengit dek persembahan yang merosot dalam minggu-minggu terakhir liga.

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, kecewa gagal membawa piala EPL ke Anfield dalam musim terakhirnya.
Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, kecewa gagal membawa piala EPL ke Anfield dalam musim terakhirnya. - Foto REUTERS

Kira-kira enam minggu lalu, Liverpool berdiri megah di persada liga, namun persembahan yang merosot melihat pasukan pimpinan Jurgen Klopp, dalam musim terakhir beliau menerajui kelab Anfield itu, bakal menutup tirai musim mereka dengan kejuaraan Piala Carabao dan tempat ketiga dalam Liga.

“Sejujurnya musim lalu tidaklah begitu teruk bagi Liverpool dari segi persembahan mahupun konsistensi. Namun, dalam liga yang mempunyai kelab seperti Manchester City, anda tidak mampu membiarkan standard anda jatuh kerana anda tidak akan pulih daripada keadaan itu,” ujar Carragher.

Selain Liverpool, turut mengecewakan musim ini ialah Tottenham Hotspur

yang sekali lagi mempamerkan sejuta janji, namun akhirnya gagal memenuhi potensi.

Spurs akan bermain dalam Liga Europa musim depan dan besar kemungkinan akan disertai oleh Chelsea, dengan persembahan yang meningkat dalam minggu-minggu terakhir musim memacu mereka ke tangga ke-enam, dalam minggu terakhir pertandingan.

Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino, sekurang-kurangnya mengakhiri musim dengan memberi penyokong Chelsea harapan pasukan mereka mampu melayakkan diri ke Eropah.
Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino, sekurang-kurangnya mengakhiri musim dengan memberi penyokong Chelsea harapan pasukan mereka mampu melayakkan diri ke Eropah. - Foto EPA-EFE

Meskipun demikian, setelah berbelanja besar sepanjang dua musim lalu, persembahan yang meningkat pada akhir musim mungkin tidak akan menjanjikan keselamatan pekerjaan bagi pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino.

“Adakah beliau akan kekal? Saya harap iya,” kata bekas pemain Chelsea, Ashley Cole.

“Chelsea harus bersabar. Tidak ada makna kerap menggantikan pengurus kerana formula itu tidak membuahkan hasil dalam beberapa musim lalu,” ujar beliau.

Namun, pasukan yang pastinya paling mengecewakan ialah Manchester United dengan masa depan pengurusnya, Erik ten Hag, terus menjadi tanda tanya.

Masa depan pengurus Manchester United, Erik ten Hag, di Old Trafford terus menjadi tanda tanya.
Masa depan pengurus Manchester United, Erik ten Hag, di Old Trafford terus menjadi tanda tanya. - Foto REUTERS

Sekiranya United menang perlawanan akhir menentang Brighton, pasukan Old Trafford itu akan mengakhiri musim dengan 60 mata, hampir 30 mata di belakang City dan Arsenal.

“Jelas jurang yang perlu diisi bagi United adalah sangat lebar. Adakah mereka mampu melakukannya dalam satu, dua atau tiga musim dengan ten Hag? Jawapannya iya sekiranya pelan pembaharuan di bawah pemilik baru, (Jim) Ratcliffe, berjalan lancar,” kata Neville.

Selepas malam ini, peminat bola sepak, khususnya peminat Liga Perdana England (EPL), berehat dan menanti sehingga 11 Ogos untuk musim 2024/25 membuka tirainya.

Penantian itu semestinya satu penyeksaan, namun bagi penyokong pasukan yang mengecewakan seperti Tottenham Hotspur, saya sekurang-kurangnya dapat melangkah ke musim baru nanti dengan penuh harapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg