Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

City hadapi tekanan selepas Arsenal benam Utd

May 13, 2024 | 12:37 PM
Penyerang Arsenal, Leandro Trossard, menjaringkan satu-satunya gol ketika menentang Manchester United pada 12 Mei. Kemenangan itu bermakna Arsenal berpeluang mengatasi Manchester City dan menangi Liga Perdana England musim ini.
Penyerang Arsenal, Leandro Trossard, menjaringkan satu-satunya gol ketika menentang Manchester United pada 12 Mei. Kemenangan itu bermakna Arsenal berpeluang mengatasi Manchester City dan menangi Liga Perdana England musim ini. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Arsenal jarang mempamerkan permainan yang membosankan tetapi pasukan itu tidak mengendahkan kritikan itu apabila berjaya menewaskan Manchester United 1-0 12 Mei.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta melakukan banyak kesilapan dan gaya permainan mereka tidak selancar seperti biasa ketika berdepan United, yang bermain seakan tidak bermaya.

Gol kemenangan Arsenal dijaringkan Leandro Trossard pada minit ke-20 ekoran kelalaian Casemiro, yang membolehkan Kai Havertz meloloskan diri daripada perangkap ofsaid dan membuat hantaran kepada Trossard untuk menjaringkan gol.

Tiga mata penuh itu cukup bermakna bagi Arsenal memandangkan ia diperolehi di Old Trafford. Sebelum ini, Arsenal hanya berjaya mencatat dua kemenangan dalam 17 perlawanan di sana.

Walaupun Arsenal tidak bermain pada tahap terbaik mereka, jurang prestasi antara kededua musuh ketat itu amat jelas.

Namun, Manchester City masih menikmati kelebihan dalam persaingan untuk merebut kejuaraan Liga Perdana England (EPL) musim ini.

Dalam hal ini, Arsenal mengharapkan ‘bantuan’ Tottenham Hotspur: jika Spurs dapat menewaskan pasukan bimbingan Pep Guardiola pada 15 Mei, ia akan memperkukuhkan peluang Arsenal merebut piala EPL pertama dalam tempoh 20 tahun.

City hanya berjaya menewaskan Spurs sekali dalam enam pertemuan di padang lawan, dan keputusan seperti inilah yang diharapkan Arsenal.

Kemenangan Arsenal ke atas United bermakna mereka telah memainkan peranan untuk mencabar City. Arsenal telah memenangi 15 daripada 17 perlawanan mereka untuk mengekalkan tekanan terhadap City bagi merebut kejuaraan EPL.

Dengan pencapaian itu, Arsenal telah menukar pendapat orang ramai yang menyifatkan mereka sebagai pasukan yang membazirkan peluang menjuarai EPL, seperti apa yang berlaku musim lalu.

Gandingan Gabriel dan William Saliba di benteng kelihatan amat teguh.

Selain memperoleh barisan penyerang yang berkesan, keteguhan pertahanan Arsenal membolehkan mereka mencabar City musim ini.

Keteguhan tersebut diperkukuhkan lagi dengan kehadiran Declan Rice sebagai pemain tengah.

Walaupun jika akhirnya Arsenal gagal muncul juara selepas perlawanan terakhir mereka menentang Everton pada 19 Mei, pasukan Arteta membuktikan perwatakan dan daya tahan yang tinggi musim ini.

Ini juga mengesahkan bahawa mereka telah mempertingkatkan prestasi mereka sejak Arteta mengambil alih, dan kelihatan seperti akan terus mempertingkatkan prestasi mereka pada musim akan datang.

Namun, itu merupakan satu topik untuk dibincangkan pada hari yang lain.

Arsenal telah memainkan peranan mereka, walaupun dengan gaya yang tidak memuaskan, dan tumpuan akan diberikan pada 19 Mei untuk menentukan siapa - Arsenal atau City - akan menjadi juara EPL musim ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg