Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

City terus pamer aksi hambar

Ini setelah Arsenal belasah juara bertahan itu 5-1
Feb 3, 2025 | 3:46 PM
Pemain pertahanan Manchester City, John Stones (tengah), berkata prestasi pasukannya pada separuh masa kedua tidak boleh diterima.
Pemain pertahanan Manchester City, John Stones (tengah), berkata prestasi pasukannya pada separuh masa kedua tidak boleh diterima. - Foto REUTERS

LONDON: Juara bertahan Manchester City kalah 5-1 kepada Arsenal dalam saingan Liga Perdana England (EPL) pada 2 Februari, dengan pemain pertahanan City, John Stones, menyifatkan prestasi pasukannya pada separuh masa kedua sebagai tidak boleh diterima.

Apabila Erling Haaland menyamakan kedudukan bagi City pada minit ke-55 di Stadium Emirates, pasukan kendalian Pep Guardiola itu kelihatan berpeluang untuk meraih mata penuh.

Namun, kedudukan seri itu hanya bertahan kurang seminit apabila kesilapan City, mengembalikan kelebihan kepada Arsenal menerusi rembatan Thomas Partey yang masuk ke gawang pasukan pelawat.

City kemudian hilang rentak sepenuhnya, apabila dua pemain remaja Arsenal, Myles Lewis-Skelly dan Ethan Nwaneri, masing-masing menjaringkan gol, sementara Kai Havertz turut menyumbang satu gol menerusi serangan balas pantas.

“Cara kami bermain dalam 30 minit terakhir tidak boleh diterima. Secara peribadi dan secara kolektif, ini bukan kami,” kata Stones.

“Ia bukan situasi yang baik apabila pasukan anda tidak bermain seperti biasa. Tambahan lagi stadium ini bukan tempat yang mudah untuk kami bermain.

“Selama 65 minit, terdapat fasa kami bermain dengan baik. Kami masih mampu kawal rentak permainan, namun ia berubah ke arah yang salah bagi kami.

“Saya marah dan kecewa, baik secara peribadi mahu pun sebagai satu pasukan, dengan cara perlawanan ini berakhir,” tambahnya.

City kekal di tangga keempat liga tetapi kini ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, yang memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Guardiola setuju dengan penilaian Stones mengenai kemerosotan prestasi pasukan mereka di penghujung perlawanan tetapi menegaskan pasukannya telah menunjukkan kualiti yang tidak kelihatan pada musim ini.

Beliau kesal dengan permainan pasukannya pada 25 minit terakhir, walaupun mereka bermain baik sepanjang 65 hingga 70 minit sebelumnya.

“Sudah tentu sukar untuk memulakan permainan di stadium ini, menentang pasukan seperti itu.

“Perkara ini telah banyak kali berlaku musim ini. Tetapi selepas 10 atau 15 minit, saya rasa kami mengawal rentak permainan dan bermain dengan baik.”

“Saya menyesal dengan 15 hingga 20 minit terakhir, tetapi selain itu pasukan kami beraksi dengan baik. Sukar untuk memahami apabila melihat keputusan perlawanan, tetapi itulah perasaan saya.

“Ini telah berlaku sepanjang musim, kami terlalu banyak memberi peluang kepada lawan, dan kami sedar ini tidak boleh diteruskan, tetapi ia tetap berlaku,” kata beliau.

Walaupun Haaland mencatatkan gol seniornya yang ke-250 dalam sekitar 300 perlawanan, persembahan penyerang Norway itu hambar.

Beliau hanya menyentuh bola sebanyak enam kali dalam separuh masa pertama dan langsung tidak mendapat bola selepas menanduk masuk gol penyamaan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg