Dahulu, pasukan Liga Perdana England (EPL) sering berlumba sengit untuk mendapatkan empat tempat teratas bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Namun, perkara itu mungkin berubah pada musim 2024/25, dengan EPL kini mendahului persaingan untuk menyertakan lima pasukan dalam pertandingan kelab elit Eropah itu.
Seperti musim 2023/24, Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) akan memberikan dua tempat tambahan dalam Liga Juara-Juara 2025/26 kepada liga domestik yang menunjukkan prestasi terbaik di Eropah musim ini.
Lebih menarik lagi, sehingga tujuh tempat mampu diberikan kepada pasukan EPL dalam saingan ke Liga Juara-Juara.
Perkara itu mampu terjadi kerana setiap liga akan diberikan mata koefisien berdasarkan prestasi pasukan mereka di Eropah – dua mata untuk kemenangan dan satu mata untuk seri.
Mata yang diperoleh oleh kelab-kelab dari liga domestik yang sama akan dikumpulkan dan kemudian dibahagikan mengikut bilangan kelab dari liga tersebut yang bertanding di Eropah.
Sebagai contoh, jika liga England mengumpulkan 100 mata, jumlah itu akan dibahagikan dengan bilangan pasukan yang beraksi di Eropah iaitu tujuh, memberikan England mata koefisien sebanyak 14.28.
Musim ini mata bonus juga diberikan kepada pasukan yang beraksi dalam Liga Juara-Juara.
Ini bermakna liga yang mempunyai lebih banyak pasukan dalam pertandingan tersebut, seperti Jerman dan Italy, akan mendapat kelebihan.
Negara yang mempunyai mata koefisien tertinggi dan berada di dua kedudukan teratas akan mendapat tempat tambahan dalam Liga Juara-Juara musim seterusnya.
Dalam EPL, empat pasukan teratas akan layak ke Liga Juara-Juara, lantas tempat tambahan akan diberikan kepada pasukan yang menduduki tangga kelima.
Musim 2023/24 menyaksikan tempat tambahan diberikan kepada Bologna dan Borussia Dortmund, yang masing-masing menduduki tempat kelima dalam Serie A dan Bundesliga.
Sehingga 26 Januari, England sedang mendahului kedudukan mata koefisien dengan kelab EPL telah mengumpulkan mata terbanyak dan mempunyai purata tertinggi.
Kedudukan terkini ialah – England dengan 100 mata serta purata sebanyak 14.34; Italy, 88 mata dan purata sebanyak 11.05; Sepanyol, 82 mata dan purata sebanyak 11.77; Perancis, 66 mata dan purata sebanyak 10.94; Jerman, 79 mata dan purata sebanyak 9.88.
Menurut Opta – sebuah syarikat analitik sukan yang mengumpul dan menganalisis data – terdapat 98 peratus kemungkinan pasukan England akan memperoleh tempat tambahan dalam Liga Juara-Juara musim 2025/26.
Sekiranya EPL memperoleh tempat tambahan, pasukan yang menduduki tangga kelima musim ini akan layak ke Liga Juara-Juara 2025/26.
Setakat ini, tempat itu diduduki oleh Newcastle United.
Namun, perlumbaan untuk kedudukan lima tempat teratas masih terbuka dengan terdapat jurang 11 mata antara Arsenal yang berada di tempat kedua, dengan Fulham di tempat kesembilan.
Nottingham Forest, yang berada di tangga ketiga, sedang menikmati musim yang hebat, dengan Opta meramalkan peluang mereka untuk menamatkan musim di empat tempat teratas ialah sebanyak 44 peratus.
Jika slot Liga Juara-Juara diberikan kepada pasukan kelima, peluang Forest untuk layak meningkat kepada 63 peratus.
Opta juga menjangkakan Newcastle mempunyai peluang sebanyak 27 peratus untuk menamatkan musim ini di empat tangga teratas dan 45 peratus untuk lima tangga teratas, manakala Bournemouth masing-masing mempunyai peluang sebanyak 13 dan 26 peratus.
Jika EPL memperoleh lima tempat dalam Liga Juara-Juara, terdapat dua lagi tempat untuk Liga Europa dan satu untuk Liga Conference Europa pada musim 2025/26.
Dalam pada itu, pemenang Liga Europa pada 2024/25 secara automatik diberikan slot beraksi dalam Liga Juara-Juara pada musim berikutnya.
Di bawah peraturan sebelum ini, satu liga hanya boleh mempunyai maksimum sebanyak lima kelab dalam Liga Juara-Juara, namun peraturan itu kini dilupuskan.
Musim 2024/25 menyaksikan mana-mana pasukan yang memenangi Liga Europa, tetapi menduduki di luar lima tangga teratas di liga domestik, akan menyertai pasukan yang layak ke Liga Juara-Juara.
Ini bermakna Manchester United atau Tottenham, yang berkemungkinan besar tidak layak ke Liga Juara-Juara berdasarkan kedudukan terkini mereka di EPL, harus memenangi Liga Europa untuk melayakkan diri ke kejohanann elit Eropah itu – menyertai lima kelab teratas EPL.
Selain itu, pemenang Liga Juara-Juara musim ini pula dijamin tempat dalam pertandingan elit Eropah itu pada musim depan.
Dalam situasi yang jarang berlaku, terdapat pasukan yang memenangi Liga Juara-Juara tetapi gagal layak ke saingan pada musim seterusnya berdasarkan kedudukan liga domestik – seperti Chelsea pada musim 2011/12.
Chelsea, yang ketika itu berada di tangga keenam dalam EPL, layak ke Liga Juara-Juara, menggantikan Tottenham di tempat keempat kerana peraturan ketika itu hanya membenarkan maksimum empat pasukan dari sesebuah negara.
Namun, jika Manchester City memenangi Liga Juara-Juara musim ini tetapi kedudukan mereka di EPL berada di luar zon kelayakan, mereka tetap akan layak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan bersama empat pasukan teratas EPL.
Ini bermakna EPL secara teori boleh mempunyai tujuh pasukan dalam Liga Juara-Juara 2025/26 – lima pasukan teratas dalam liga, pemenang Liga Juara-Juara musim ini, dan juga pemenang Liga Europa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg