Apabila atlet triatlon Claire Jedrek terjatuh dan patah tulang rusuknya semasa Jelajah Dunia Triatlon T100 Singapura pada April, beliau menyangka peluangnya bertanding dalam acara Ironman 70.3 di pantai Desaru musnah.
Disebabkan kecederaannya, atlet berusia 41 tahun itu terpaksa berehat selama dua minggu dan hanya mampu berharap pulih secepatnya.
Namun, harapannya menamatkan perlumbaan itu menjadi kenyataan pada 19 Mei, lima minggu selepas kecederaannya.
Bukan itu sahaja. Jedrek, malah, maju selangkah lagi dengan melayakkan diri ke Kejohanan Dunia yang akan berlangsung pada 14 hingga 15 Disember di Taupo, New Zealand, lapor The Straits Times (ST).
“Tulang rusuk saya patah, jadi tidak ada apa-apa yang boleh saya lakukan selain berehat dan menunggu.
“Ia benar-benar mengecewakan kerana ia bermakna saya tidak melakukan apa-apa selama dua minggu.
“Saya kembali pada minggu ketiga dan mula berenang. Saya tidak banyak berlatih sebagai persiapan (bagi perlumbaan ini),” kata Jedrek.
Namun, selepas menamatkan satu larian jejak di Malaysia, beliau dipelawa bertanding dalam acara Ironman 70.3 di pantai Desaru, seminggu sebelum perlumbaan itu diadakan.
Penyampai sukan itu memutuskan untuk menyertai perlumbaan itu.
“Jurulatih dan rakan saya berkata mungkin saya harus pergi ke Desaru untuk bertenang,” kata Jedrek, sambil menambah beliau bahawa membuat keputusan menempah feri pada saat akhir, iaitu lima hari sebelum perlumbaan itu.
Sambil menyifatkan kejayaannya menamatkan perlumbaan itu sebagai “penuh emosi”, beliau berkata turut berasa terkejut apabila menduduki tempat keempat dalam kumpulan usianya, sekali gus layak ke Kejohanan Dunia pada akhir tahun.
Ini memandangkan beliau berlatih pada jarak 10 kilometer (km) kurang daripada yang biasa dilakukannya menjelang perlumbaan, disebabkan kecederaannya.
“Saya agak bimbang, tetapi sekarang saya menantikan pengalaman berenang di Taupo. Ia adalah pertandingan yang diidamkan, jadi saya tidak patut mensia-siakannya,” ujar Jedrek.
Beliau menambah bahawa sekurang-kurangnya 10 warga Singapura mencapai sasaran bagi Kejohanan Dunia, termasuk Choo Ling Er, atlet triatlon mapan.
Seorang lagi atlet triatlon yang berjaya mengatasi cabaran untuk layak ke Kejohanan Dunia ialah pemenang pingat Sukan SEA, Bryce Chong.
Ia adalah kali pertama atlet berusia 27 tahun itu, yang memenangi gangsa dalam aquatlon (renang 500 meter dan larian 2.5km) di Phnom Penh, bertanding dalam perlumbaan Ironman, terdiri daripada renang di laut terbuka sejauh 1.9km, berbasikal sejauh 90km dan larian 21.1km.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg