ROTTERDAM: Bruno Petkovic dan Luka Modric menjaringkan gol-gol bagi Croatia pada masa tambahan untuk melayakkan negara tersebut ke final Liga Negara-Negara.
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium De Kuip di Belanda, Croatia mengatasi Belanda 4-2 pada Rabu.
Skuad kendalian Zlatko Dalic, yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022, semakin hampir memperoleh trofi pertama Croatia.
Pemain Croatia Andrej Kramaric dan Mario Pasalic masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua selepas Donyell Malen meletakkan Belanda di hadapan, tetapi Noa Lang menyamakan kedudukan pada minit ke-96 lantas perlawanan dilanjutkan kepada masa tambahan.
Bagaimanapun lapan minit dalam masa tambahan, Petkovic berjaya meloloskan diri dan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk meletakkan Croatia di depan sebelum Modric menyempurnakan sepakan penalti untuk menjamin kemenangan.
Liga Negara-Negara merupakan salah satu peluang terakhir untuk pemain veteran Croatia, termasuk Modric yang bermain untuk kelab Real Madrid, untuk mengecapi kejayaan antarabangsa.
Croatia hanya mengalami satu kekalahan, iaitu kepada pemenang Piala Dunia Argentina, dalam 16 perlawanan terakhir mereka dan mematahkan hasrat Belanda untuk memenangi pertandingan pertama sejak Kejohanan Eropah 1988.
Skuad Belanda kendalian Ronald Koeman menamatkan saingan sebagai naib juara Liga Negara-Negara yang julung-julung kalinya diadakan pada 2019 menentang Portugal, manakala pasukan Perancis menang edisi 2021.
Kapten Belanda, Virgil van Dijk, berkata kepada penyiar Belanda NOS: “Kami bersaing seperti singa tetapi malangnya ia tidak cukup bagus hari ini.
“Ia sangat mengecewakan. Kami tahu ia sukar, tetapi kami sebenarnya telah memberikan kelakonan baik.”
Koeman memilih Malen di sayap kanan bagi mengasak serangan, manakala bakat muda Xavi Simons membuat penampilan keempatnya untuk Belanda di sebelah kiri.
Kedua-duanya terlibat dalam gol pembukaan, bersama penyerang Liverpool Cody Gakpo, di kala Belanda menguasai perlawanan dalam setengah jam pertama.
Perlawanan tersebut bermula dengan tempoh yang amat hambar setelah kedua-dua pasukan kelihatan letih selepas musim yang panjang.
Malen membuka tirai jaringan bagi Belanda pada minit ke-34 susulan hantaran tepat oleh pemain kelab liga Belanda Feyenoord, Mats Wieffer.
Sepakannya berjaya melepasi penjaga gawang Dominik Livakovic – wira Croatia dalam Piala Dunia 2022 yang membantu pasukan itu meraih tempat ketiga.
Sepanyol dan Italy akan bertembung di stadium De Grolsch Veste pada pagi Jumaat bagi menentukan pasukan mana yang akan mara ke peringkat akhir menentang Croatia. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg