LONDON: Harapan Crystal Palace untuk beraksi dalam Liga Europa musim terkini musnah.
Ini selepas Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS) pada 11 Ogos menolak rayuan kelab itu berkaitan keputusan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), yang menyingkir kelab tersebut daripada saingan Liga Europa, dan hanya membenarkannya bersaing dalam Liga Persidangan.
Palace, yang layak ke Liga Europa selaku juara Piala FA England pada musim lalu, didapati melanggar peraturan Uefa berhubung isu pemilikan pelbagai kelab.
Badan induk bola sepak Eropah memutuskan mulai 1 Mac, ahli perniagaan Amerika Syarikat, John Textor, mempunyai kepentingan dan pengaruh dalam dua kelab iaitu Crystal Palace dan kelab Perancis, Lyon.
Ini bermakna di bawah peraturan Uefa, kedua-dua kelab tersebut tidak dapat bersaing dalam pertandingan Eropah yang sama, lapor The Straits Times (ST).
Lyon mengekalkan tempat dalam Liga Europa berdasarkan kedudukannya yang lebih tinggi dalam liga tersebut.
Palace membuat rayuan kepada CAS pada Julai selepas Textor bersetuju menjual sebanyak 43 peratus pegangan sahamnya dalam kelab Liga Perdana itu kepada Woody Johnson, pemilik pasukan bola sepak Amerika, New York Jets.
Bagaimanapun, perjanjian tersebut dibuat selepas tarikh akhir yang ditetapkan Uefa, iaitu 1 Mac, untuk menyelesaikan isu pemilikan berbilang kelab tersebut.
Dalam satu kenyataan pada 11 Ogos, tiga hari selepas satu sesi sidang tertutup, CAS menyatakan:
“Selepas menimbangkan bukti sedia ada, panel ini mendapati bahawa John Textor, pengasas Eagle Football Holdings, memiliki saham dalam Crystal Palace dan Lyon, serta merupakan anggota lembaga pengarah dengan pengaruh menentukan ke atas kedua-dua kelab tersebut pada tarikh penilaian Uefa.
“Panel ini menganggap bahawa peraturan Uefa adalah jelas dan tidak memberi kelonggaran kepada mana-mana kelab yang gagal mematuhi (peraturan ini) sebelum tarikh penilaian, seperti yang didakwa Crystal Palace.”
Dengan keputusan tersebut, Nottingham Forest, yang menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam Liga Perdana England (EPL) musim lalu, bakal menggantikan Palace dalam saingan Liga Europa.
Keputusan tersebut selari dengan tindakan CAS sebelum ini, yang turut menolak rayuan kelab Ireland, Drogheda United, yang disingkirkan daripada saingan Liga Persidangan kerana isu pemilikan bersama dengan kelab Denmark, Silkeborg IF. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg