LONDON: Pasukan ‘Liverpool 2.0’ pimpinan Arne Slot membuat penampilan yang dinantikan di Stadium Wembley pada 10 Ogos, dan ulasan mengenai prestasi pasukan tersebut kini mula kedengaran.
Kadangkala pasukan tersebut menunjukkan aksi cemerlang, namun ada kalanya persembahannya tampak kelam-kabut dan kurang teratur, menandakan prestasi yang perlu diperbaiki.
Empat pemain baru yang dibeli Liverpool pada musim panas ini membuat penampilan kompetitif pertama mereka dalam perlawanan Perisai Masyarakat menentang Crystal Palace, yang berakhir dengan kekalahan Liverpool menerusi sepakan penalti.
Pemain baru Liverpool, Florian Wirtz, yang dibeli dengan harga rekod perpindahan bernilai £116 juta ($200.5 juta), bermain di posisi tengah menyerang, manakala Jeremie Frimpong dan Milos Kerkez membentuk pasangan pertahanan baru.
Hugo Ekitike pula mengetuai barisan serangan sebagai penyerang tengah.
Satu-satunya muka baru yang tidak berada dalam kesebelasan utama ialah penjaga gol, Giorgi Mamardashvili, yang berada di bangku pemain simpanan, sementara Alisson mengisi posisi sebagai penjaga gol utama, lapor BBC Sport.
Terdapat beberapa tanda jelas bahawa perubahan besar dalam pasukan tersebut berpotensi membawa hasil mengagumkan.
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 2-2, dengan jaringan oleh Ekitike dan Frimpong.
Ini adalah kali pertama sejak Ogos 2006 Liverpool mempunyai dua pemain baru yang menjaringkan gol dalam penampilan kompetitif pertama mereka.
Namun, ‘Liverpool 2.0’ masih ada kelemahan. Ia dua kali mendahului perlawanan, namun Palace berjaya menyamakan kedudukan.
Menjelang akhir perlawanan, Liverpool turut berdepan tekanan hebat daripada Palace.
“Kami ada empat pemain baru dan perlukan masa untuk menyesuaikan diri,” kata Slot dalam satu sidang media selepas perlawanan di Wembley.
Malah, persembahan pasukan bergelar The Reds itu dalam perlawanan Perisai Masyarakat itu bukanlah satu kejadian terpencil.
Dalam perlawanan persahabatan pada 5 Ogos, yang berakhir dengan kemenangan 3-2 menentang Athletic Bilbao, Liverpool turut dibolosi dua gol melalui sepakan sudut.
Palace boleh dikatakan hanya mempunyai dua peluang besar dalam perlawanan ini – sepakan penalti oleh Jean-Philippe Mateta pada minit ke-13, dan serangan pantas Ismaila Sarr pada 12 minit terakhir perlawanan.
Peluang tersebut tidak disia-siakan dengan kedua-duanya berakhir dengan jaringan.
Seperti yang dikatakan Slot: “Kami tidak melepaskan peluang, tetapi kami membenarkan lawan menjaringkan gol.”
Bagaimanapun, Slot berasa yakin bahawa Liverpool mampu memperbaiki prestasinya untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana England (EPL).
Dalam perlawanan Perisai Masyarakat tersebut, babak pertama berakhir dengan Liverpool mendahului 2-1 selepas jaringan Ekitike dan Frimpong, yang disusuli gol penalti oleh Mateta.
Namun pada babak kedua, Sarr menyamakan kedudukan 2-2, memaksa perlawanan ditentukan melalui babak sepakan penalti.
Walaupun Liverpool berjaya memenangi EPL pada musim lepas, ia gagal memenangi pertandingan utama lain seperti Liga Juara-Juara dan Piala Liga.
Aktiviti perpindahan sepanjang musim panas ini membuktikan bahawa Liverpool tidak berpuas hati dengan kejuaraan EPL sahaja, dan akan mencuba mengejar trofi-trofi yang tercicir musim lalu.
Yang jelas, ia tidak teragak-agak untuk berbelanja besar bagi memperkukuhkan skuad dalam usaha mencapai matlamat tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg