MANCHESTER: Perpindahan Matheus Cunha ke Manchester United kini berada di tahap akhir, dengan penyerang Wolves itu semakin hampir melengkapkan perpindahan bernilai £62.5 juta ($108 juta) ke Old Trafford.
Menurut maklumat yang diperoleh pihak media, United dijangka membayar keseluruhan jumlah tersebut dalam tiga ansuran sepanjang tempoh dua tahun.
Kededua pihak hampir mencapai persetujuan penuh mengenai terma peribadi, dan sumber dalaman menyatakan perbincangan mengenai pakej pemain Brazil itu kini hanya sekadar formaliti.
Wolves masih belum menerima sebarang tawaran rasmi setakat ini, tetapi ia dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Nilai pelepasan Cunha bernilai £62.5 juta, bermakna tidak perlu ada rundingan panjang antara kelab sekiranya United bersetuju memenuhi syarat pembelian tersebut.
Sumber yang dipercayai turut memaklumkan bahawa bayaran penuh perlu diselesaikan menjelang penghujung musim 2026-27.
Bayaran pertama sebanyak £20.8 juta akan dibuat sebaik sahaja pembelian dimuktamadkan, diikuti bayaran kedua pada penghujung musim depan, manakala baki akhir akan diselesaikan pada musim panas 2027.
Cunha, 25 tahun, telah membuat 92 penampilan bersama Wolves sejak menyertai kelab itu secara pinjaman daripada Atletico Madrid pada Januari 2023.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya menjaringkan 33 gol untuk kelab berkenaan.
Beliau dipercayai telah beraksi dalam perlawanan terakhirnya untuk Wolves ketika mereka seri 1-1 menentang Brentford pada 25 Mei.
Selepas perlawanan itu, Cunha memuat naik ucapan khas kepada penyokong melalui media sosialnya.
“Secara individu, ini adalah musim terbaik dalam hidup saya. Semua ini hanya terjadi kerana dedikasi dan kasih sayang saya terhadap kelab ini,” katanya.
“Saya kini berkongsi pencapaian sebagai pemain Brazil dengan jaringan terbanyak dalam satu musim Liga Perdana bersama Roberto Firmino dan Gabriel Martinelli.
“Saya pernah melakukan kesilapan dan juga mencipta kejayaan, semuanya kerana saya benar-benar sebati bersama kelab ini. Apa yang saya impikan hanyalah untuk melakukan sesuatu yang luar biasa untuk Wolves. Satu lagi musim berakhir. Terima kasih atas segala sokongan dan kasih sayang,” katanya.
Perpindahan Cunha ke United dijangkakan hanya sekadar permulaan bagi pembinaan semula pasukan yang dimpimpin pengurus, Ruben Amorim, itu setelah beliau mengakhiri musim paling teruk bagi United.
Penyerang Sporting CP, Victor Gyökeres, pernah dikaitkan dengan perpindahan ke United, tetapi akibat United tidak layak ke Liga Juara-Juara musim depan, mereka terlepas peluang mendapatkannya.
United mungkin perlu mencari sasaran alternatif yang lebih sesuai dengan strategi dan keperluan semasa mereka.
Penyerang Ipswich Town, Liam Delap, merupakan antara alternatif yang lebih murah dan berkemungkinan boleh berlaku.
United perlu membeli penyerang kerana mereka juga dijangkakan menjual beberapa pemain.
Penyerang muda United, Alejandro Garnacho, dijangka meninggalkan Old Trafford selepas perselisihan dengan Amorim.
Selain Garnacho, Rashford dilaporkan ingin meninggalkan United dan bersedia menerima potongan gaji untuk menyertai Barcelona setelah musim yang mengagumkan di Aston Villa. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg