Ini adalah musim paling teruk bagi Manchester United, dan dakwaan Ruben Amorim mengenai pasukan ini sebagai salah satu pasukan terburuk dalam sejarah mereka tidak jauh dari kebenaran.
Dengan 18 kekalahan liga, yang paling banyak dalam sejarah Liga Perdana England (EPL) mereka, dan pengesahan jumlah mata terendah dengan baki satu perlawanan, kempen ini secara rasminya adalah yang paling teruk.
Tidak kira apa yang berlaku dalam perlawanan terakhir EPL menentang Aston Villa pada 25 Mei, United pasti mendapat jumlah mata terendah bagi mereka sejak EPL bermula pada 1992.
Kedudukan terendah mereka seterusnya ialah 58 pada musim 2021-22, kini mereka hanya mempunyai 39 mata.
Kekalahan kepada Tottenham Hotspur di final Liga Europa memburukkan lagi keadaan, meletakkan mereka di situasi di mana mereka akan menghadapi musim depan tanpa bola sepak Eropah.
Ramai yang mencari siapakah pesalah utama dalam menghasilkan persembahan dan musim yang amat mengecewakan ini.
Namun, bagi saya, pengurus United, Ruben Amorim, bukan pesalah utama atas kegagalan musim ini.
Amorim ‘dicampak’ masuk untuk mengurus pasukan United di pertengahan musim EPL, mengambil alih daripada pengurus sementara United pada masa itu, Ruud van Nistelrooy, pada November 2024.
Ada laporan yang mengatakan bahawa Amorim ingin memikul tanggungjawab itu setelah musim beliau bersama pasukan Portugal, Sporting Lisbon, berakhir tetapi diberitahu bahawa jikalau beliau tidak terima tawaran itu, mereka akan mencari calon pengganti Erik ten Hag yang lain.
Ini bermakna beliau terpaksa bekerjasama dengan pemain-pemain baru dan tidak mempunyai masa untuk melatih dan menyesuaikan mereka ke sistem permainan beliau.
Beliau juga boleh dikatakan tidak terima sokongan daripada lembaga pengarah United dari segi membeli pemain baru yang sesuai dengan gaya permainan beliau semasa tempoh perpindahan Januari.
Dalam skuad yang mempunyai banyak kelemahan, beliau hanya dapat tiga pemain baru, bek kiri berusia 20 tahun, dari pasukan Italy, U.S. Lecce, Patrick Dorgu; pemain pertahanan dari Lille berusia 19 tahun, Leny Yoro, dan pemain pertahanan berusia 18 tahun dari Arsenal, Ayden Heaven.
Ketiga-tiga pemain ini masih muda, dan tidak boleh dinafikan mempunyai potensi yang hebat, tetapi ia tidak adil untuk mengharapkan mereka untuk memikul tanggungjawab mengubah nasib United.
Untuk memburukkan lagi keadaan, pilihan barisan penyerang bagi Amorim menjadi lebih tipis setelah beliau memutuskan untuk melepaskan Marcus Rashford ke Aston Villa; Jadon Sancho ke Chelsea dan Anthony ke Real Betis secara pinjaman.
Ramai yang mengatakan bahawa ia kesilapan Amorim untuk melepaskan mereka, tetapi ia hanya membuktikan bahawa mereka pemain yang baik, cuma tidak sesuai dengan gaya permainan Amorim.
Tetapi tanpa pengganti untuk pemain-pemain ini, Amorim terpaksa bergantung kepada pemain-pemain muda sekali lagi seperti Alejandro Garnacho (20 tahun); Rasmus Højlund (22 tahun) dan Joshua Zirkee (24 tahun).
Pemain-pemain ini mempamerkan detik-detik bakat yang membuktikan mereka layak bermain untuk United, tetapi memerlukan bimbingan daripada pemain lebih berpengalaman di posisi mereka untuk cemerlang.
Amorim juga terpaksa menangani masalah kecederaan jangka panjang kepada pemain-pemain utamanya.
Pemain pertahanan, Lisandro Martinez, mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior atau ACL sejak Februari dan masih sedang dalam proses pemulihan.
Zirkee juga mengalami kecederaan pada April 2025, dan hanya kembali beraksi untuk final Liga Europa menentang Spurs dan terlepas jumlah besar perlawanan EPL juga.
Penyerang paling mengancam United, Amad Daillo, juga cedera buku lalinya semasa latihan pada April dan terlepas 15 perlawanan untuk United.
Terdapat juga pemain penting seperti Matthijs de Ligt, Harry Maguire, Diogo Dalot dan lain lagi yang terlepas beberapa perlawanan penting akibat kecederaan juga.
Sebenarnya masalah ini boleh dikurangkan jikalau Amorim menerima sokongan dari Jim Ratcliffe untuk mendapatkan pemain-pemain yang diperlunya - untuk mendapatkan pemain yang cocok dengan gaya permainan beliau serta memastikan beliau mempunyai pemain sandaran yang boleh dipercayai apabila kecederaan melanda kesebelasan utamanya.
Perkara ini juga turut dirasakan oleh legenda United, David Beckam, yang menekankan bahawa United perlu menyokong Amorim.
“Ruben perlu disokong sebagai pengurus untuk membawa masuk pasukannya dan menerapkan falsafahnya - beliau sudah mencubanya tetapi saya fikir apabila Amorim berjaya mendapatkan pasukan dan pemain yang diingininya, maka anda akan melihat sesuatu yang berbeza,” kata beliau.
Justeru, Ruben Amorim tidak sepatutnya dipecat oleh United.
Jikalau Amorim dilepaskan sekarang, sejarah akan berulang sekali lagi, dan penyokong United terpaksa menantikan projek baru di bawah pengurus baru untuk membangunkan dan membangkitkan semula pasukannya ke era kegemilangan satu hari nanti.
Mungkin ini adalah masanya untuk bersabar dan beri peluang kepada Amorim.
Berikan beliau sokongan yang secukupnya dan masa untuk benar-benar melatih pasukannya untuk bermain gaya bola sepaknya.
Apabila beliau diberikan sokongan yang secukupnya, baru boleh kita menilainya.
Anggaplah musim ini sebagai pramusim bagi beliau.
Mungkin ada hikmah United tidak akan bermain bola sepak Eropah musim depan.
Ini memastikan jangkaan terkawal serta berikan masa bagi Amorim dan pemainnya untuk merenung musim ini dan memberi tumpuan kepada EPL.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg