Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Danelle Tan buat penampilan sulung dalam liga utama Jepun

Beraksi bersama Tokyo Verdy Beleza dalam perlawanan pembukaan musim 
Aug 11, 2025 | 3:40 PM
Danelle Tan, membuat penampilan sulungnya dalam Liga Pemerkasaan Wanita (WE) Jepun pada 10 Ogos.
Danelle Tan, membuat penampilan sulungnya dalam Liga Pemerkasaan Wanita (WE) Jepun pada 10 Ogos. - Foto ihsan DANELLE TAN

Hanya sehari selepas Singapura meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-60 (SG60), seorang permata Singa wanita, mengorak langkah pertamanya dalam liga bola sepak profesional utama Jepun.

Danelle Tan, 20 tahun, membuat penampilan sulung dalam Liga Pemerkasaan Wanita (WE) Jepun pada 10 Ogos, selepas diberikan peluang bermain oleh kelab, Nippon TV Tokyo Verdy Beleza, menentang International Athletic Club (INAC) Kobe Leonessa, dalam perlawanan pembukaan musim kelab tersebut.

Namun, penampilan pertama Danelle sebagai penyerang Singapura berakhir dengan kekalahan apabila juara bertahan Liga WE itu tewas 0-2 dalam perlawanan di tempat lawan di depan lebih 2,400 penonton.

Pasukan tuan rumah menjaringkan gol pada minit ke-63 dan minit ke-88 dalam keadaan hujan lebat di Stadium Peringatan Kobe Universiade yang mempunyai kapasiti 45,000 penonton.

“Ini bukanlah keputusan yang kami mahukan, tetapi saya sangat gembira dapat membuat penampilan sulung untuk Beleza,” kata Tan, yang bermain selama 71 minit sebelum beliau digantikan oleh pemain antarabangsa Jepun, Moka Hiwatari.

“Saya rasa saya dapat menyesuaikan diri dengan baik, jadi saya gembira dapat bermain dengan baik pada pembukaan musim.

“Saya rasa perlawanan ini sangat seimbang. Kedua-dua pasukan mempunyai banyak peluang dan kami sebenarnya berpeluang menang 2-0.

“Tetapi itulah bola sepak - jika anda tidak manfaatkan peluang, dan pihak lawan yang melakukannya, peluang meraih kemenangan terus hilang begitu sahaja,” ujar beliau.

Tan mencipta satu peluang terbaik bagi pasukannya pada separuh masa pertama apabila beliau membuat rembatan kencang dari jarak sekitar 20 meter, memaksa penjaga gol menepis bola ke atas palang gol.

Tan difahamkan adalah pemain kedua Singapura yang bermain dalam liga utama Jepun.

Pada 2021, kapten Singa wanita, Siti Rosnani Azman, menandatangani kontrak satu musim bersama Kobe untuk bermain dalam Liga WE, lapor The Straits Times (ST).

Tan dan rakan sepasukannya kini akan membuat persiapan bagi perlawanan pertama musim ini di tempat sendiri pada 17 Ogos menentang pasukan Nojima Stella di stadium Ajinomoto Field Nishigaoka, Tokyo.

Pada Julai, Tan menandatangani kontrak setahun dengan Beleza, yang merupakan juara pertama Kejohanan Kelab Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2019.

Kelab tersebut juga mencatat rekod sebagai juara Liga Nadeshiko sebanyak 17 kali.

Liga Nadeshiko sebelum ini adalah liga tertinggi di Jepun sebelum penubuhan Liga WE.

Ini menandakan permulaan baru bagi Tan selepas pengalamannya di Australia.

Pada Mei, Tan meninggalkan kelab terkemuka Liga Australia, Brisbane Roar, selepas hanya membuat tiga penampilan pada musim Wanita Liga-A 2024-25.

Beliau menyertai kelab tersebut pada Ogos 2024, selepas membantu menaikkan kelab Jerman, Borussia Dortmund, ke Westfalenliga, iaitu liga keempat dalam bola sepak Jerman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg