Empat kekalahan dalam empat perlawanan, dengan 13 gol dibolos dan hanya dua jaringan – angka ini merumuskan kempen sukar skuad wanita Singapura dalam pusingan kelayakan Piala Asia Wanita.
Di Amman, Jordan, skuad wanita Singapura, yang kini berada di kedudukan ke-139 dunia, menamatkan kempen di tangga tercorot Kumpulan A tanpa sebarang mata, selepas tewas kepada tuan rumah Jordan (5-0), Iran (4-0), Lebanon (1-0), dan Bhutan (3-2).
Prestasi yang hambar di pentas Asia tersebut mendedahkan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi merapatkan jurang dengan pasukan serantau.
“Walaupun keputusan akhir tidak menggambarkan keseluruhan persembahan, kami ada beberapa detik yang bersaing, terutamanya dalam perlawanan pembukaan menentang Bhutan dan perlawanan terakhir menentang Lebanon,” kata ketua jurulatih, Karim Bencherifa, lapor The Straits Times.
“Pertandingan ini membuka mata kami tentang aspek yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi kecergasan fizikal dan ketekalan. Namun, ia juga memberi kami banyak pengajaran penting untuk masa depan.”
Asalnya dijadualkan berlangsung dari 23 Jun hingga 5 Julai, kejohanan tersebut terpaksa ditangguhkan akibat konflik antara Iran dengan Israel, hingga memaksa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menukar lokasi dan jadual pertandingan.
Akhirnya, perlawanan dijalankan di lokasi asal di Stadium King Abdullah II di Amman, dari 7 hingga 19 Julai, selepas Iran dan Israel mencapai persetujuan gencatan senjata.
Namun, kempen kelayakan bermula dengan mencabar apabila berdepan Bhutan, pasukan di ranking ke-171 dunia, apabila beberapa pemain utama Singapura mengalami kecederaan dalam perlawanan itu.
Empat daripada lima penggantian dilakukan akibat kecederaan, dan menyebabkan pasukan negara bermain dengan hanya 10 pemain selama sekitar 17 minit.
Menurut Bencherifa, situasi tersebut sangat mencabar dari segi fizikal dan mental.
“Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya mempunyai skuad yang cukup besar dan bersedia dari segi fizikal, terutamanya dalam kejohanan bertaraf tinggi seperti ini,” ujarnya.
Walaupun keputusan tidak memihak mereka, kapten pasukan, Siti Rosnani Azman, menegaskan bahawa semua pemain telah memberikan usaha terbaik, sambil mengakui masih banyak perkara perlu diperbaiki.
Kecergasan juga menjadi kebimbangan utama, dengan Bencherifa menyatakan bahawa beberapa gol dibolosi dalam 25 minit terakhir setiap perlawanan.
Daripada 13 gol yang dibolos itu, enam daripadanya dijaringkan selepas minit ke-65.
“Untuk maju ke hadapan, kita perlu cari cara untuk menyokong pemain dalam komitmen terhadap persediaan fizikal yang berterusan, pemulihan dan latihan kekuatan – bukan sekadar untuk prestasi, tetapi juga bagi mencegah kecederaan,” kata jurulatih dari Maghribi itu.
Beliau juga menegaskan kepentingan pendedahan kepada perlawanan bertaraf tinggi serta mewujudkan persekitaran latihan yang konsisten, termasuk sokongan dari segi pemakanan dan pemulihan.
Namun, ketekalan dan kesinambungan kekal menjadi cabaran kerana pasukan itu sering beraksi tanpa skuad penuh disebabkan komitmen kerja atau urusan peribadi pemain.
Sebagai contoh, penangguhan kelayakan telah menyebabkan mereka kehilangan pemain utama seperti penyerang, Danelle Tan, yang perlu menyelesaikan urusan rasmi sebelum pemindahannya ke kelab Jepun, Nippon TV Tokyo Verdy Beleza.
Walaupun berdepan pelbagai rintangan, pasukan negara kini memberi tumpuan kepada kejohanan utama seterusnya – Sukan SEA pada Disember.
Persiapan ke arah temasya dwitahunan di Thailand itu akan bermula selepas Liga Perdana Wanita tamat pada Ogos.
Bencherifa berkongsi bahawa sudah ada perancangan untuk mengadakan kem latihan serta beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa bertaraf tinggi sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg