Setelah menjadi pemain bola sepak pertama Singapura memenangi kejuaraan liga di Eropah, Danelle Tan, kini bersedia mengorak langkah seterusnya untuk mengembangkan kerjayanya.
Pada 22 Julai, penyerang Singapura berusia 19 tahun itu disahkan akan meninggalkan kelab Jerman, Borussia Dortmund, untuk memburu kerjaya pada peringkat teratas Liga-A Wanita di Australia.
Tan pada mulanya ingin terus bermain untuk Dortmund selama semusim lagi, namun beliau menerima beberapa tawaran daripada beberapa kelab bola sepak peringkat teratas Australia.
Beliau memberitahu The Straits Times dari Jerman: “Dunia bola sepak agak lucu. Perkara berubah secara tiba-tiba dan tidak dijangka.
“Saya menerima beberapa tawaran daripada kelab profesional di Australia. Saya rasa ini adalah langkah tepat untuk saya berkembang lebih jauh. Liga ini mempunyai ramai pemain muda yang berbakat.
“Saya akan merindui Dortmund. Ia adalah satu keputusan sangat sukar untuk dibuat kerana saya sangat menyayangi Dortmund dan penduduk di sini.
“Saya akan pergi dengan membawa banyak kenangan indah dan pengalaman.”
Tan, yang akan memutuskan tawaran kelab Liga-A mana yang akan beliau terima dalam masa seminggu, akan menjadi pemain wanita Singapura kedua bermain pada peringkat teratas Australia.
Ini selepas bekas pemain tengah nasional, Lim Shiya, bermain untuk Perth Glory dari 2008 hingga 2009.
Pemain pertahanan Singa, Safuwan Baharudin, juga pernah bermain untuk pasukan Melbourne City pada musim Liga-A dari 2014 hingga 2015.
Liga-A Wanita, tempat ramai pemain nasional Australia mengasah bakat hingga menjadi terkenal, juga merupakan wadah bagi pemain dan jurulatih memperoleh kelayakan untuk berpindah ke pertandingan lebih besar seperti Liga Super Wanita (WSL) di England.
Mereka yang telah mengambil langkah sedemikian termasuk bintang bola sepak, Sam Kerr daripada Chelsea dan Mary Fowler daripada Manchester City.
Bapa Danelle, Tan Meng Wei, berkata keluarganya berpandangan Liga-A Wanita akan memberi persekitaran paling sesuai untuk mengembangkan bakat Tan, dengan “ekosistem kemudahan latihan bertaraf dunia, rakan sepasukan muda dan berbakat, serta sokongan luar padang seperti bimbingan jurulatih dan pakar pemakanan”.
Sambil menambah bahawa Dortmund cukup istimewa dan sudah menjadi seperti keluarga kepada mereka, beliau berkata:
“Apabila kami memutuskan untuk pergi, saya tahu tindakan tepat ialah terus menaiki pesawat untuk berkomunikasi dengan Svenja Schlenker, ketua bola sepak wanita di Dortmund.
“Beliau jelas sedih melihat Danelle akan pergi, tetapi memahami erti di sebalik peluang ini dan memberi restu sepenuhnya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg