Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Penjaga gol Hazel Lim peroleh tawaran semasa cuti di Australia

Bekas pemain Balestier Khalsa, Tampines Rovers meterai kontrak bersama kelab berpangkalan di Melbourne, Southern United
Jan 23, 2024 | 11:48 AM



Ketika merancang percutian ke Melbourne, Australia, selepas tamat pengajian pada November 2023, Hazel Lim memastikan ada lawatan ke muzium dan pameran seni.

Beliau juga menyediakan masa – dan ruang di dalam bagasinya untuk sarung tangan dan but bola sepaknya – untuk lawatan sampingan ke padang bola sepak.

Ia terbukti berbaloi kerana peralatannya itu berguna apabila beliau menghadiri sesi percubaan di sana hingga penjaga gol berusia 21 tahun itu memperoleh kontrak luar negaranya yang pertama.

Lim, yang menyarung jersi Balestier Khalsa dan Tampines Rovers pada dua musim lalu Liga Perdana Wanita Deloitte, telah menandatangani perjanjian untuk musim ini bersama kelab berpangkalan di Melbourne, Southern United, yang bersaing dalam Liga Perdana Wanita Victoria (VPLW).

Ketika dihubungi, Lim, yang menamatkan pengajiannya di Institut Pendidikan Teknikal Kolej West pada Oktober 2023, berkata dari Melbourne:

“Sebelum saya datang ke sini, saya didorong oleh seorang teman yang berpangkalan di sini supaya menghadiri beberapa percubaan.

“Inilah tempohnya kelab mencari pemain dan saya juga boleh mendapat pendedahan kepada bola sepak di Australia.

“Saya tidak mempunyai jangkaan tinggi. Tetapi, apabila saya memperoleh tawaran daripada Southern, saya tahu saya harus merebutnya sebab tidak semua orang dapat bermain bola sepak di luar negara.”

Sikapnya yang tenang adalah salah satu perkara yang menarik perhatian jurulatih Southern United, Brian Roberts.

Bekas pemain New Zealand itu, berkata: “Hazel bermain dalam beberapa perlawanan latihan dengan kami dan beliau beraksi dengan sangat bagus dalam perlawanan itu.

“Keupayaannya menghalang rembatan mengagumkan kami dan beliau juga membawa sifat yang tenang kepada barisan pertahanan.

“Buat masa kini, kami ingin berusaha memperbaiki agihan bola dengan kakinya.

“Kami mahu memastikan beliau boleh membangun dan permainannya dapat melangkah ke depan, dan beliau kemudian boleh pulang ke Singapura dan bersaing untuk tempat nombor satu di sana.”

VPLW adalah bola sepak wanita peringkat ketiga di Australia.

Liga-A Wanita profesional adalah divisyen tertinggi manakala Liga Perdana Nasional Wanita (NPLW) pertandingan serantau di beberapa negeri dan wilayah dan bertindak sebagai peringkat kedua.

Tiada kenaikan ke Liga-A.

Southern United – yang mempunyai perkongsian dengan kelab Liga-A Melbourne City – disingkirkan daripada NPLW musim lalu dan akan bertanding dalam VPLW pada 2024.

Musimnya ialah dari Mac hingga September. 

Kelab itu juga akan bersaing dalam Piala Kalah Mati Negeri Bola Sepak Wanita Victoria. 

Pemain bola sepak wanita Singapura berpangkalan luar negara


  • Irsalina Irwan (Akademi IMG – Amerika Syarikat)
  • Chloe Koh (Akademi IMG – Amerika Syarikat)
  • Yasmine Zaharin (Akademi IMG – Amerika Syarikat)
  • Kyra Elise Taylor (Akademi IMG – Amerika Syarikat)
  • Ardhra Arul Ganeswaran (Akademi IMG – Amerika Syarikat)
  • Putri Nur Syaliza Sazali (Universiti Oakland – Amerika Syarikat)
  • Summer Chong (Kolej Springfield College – Amerika Syarikat)
  • Seri Ayu Natasha Naszri (ESC LaLiga – Sepanyol)
  • Danelle Tan (Borussia Dortmund – Jerman)
  • Nicole Lim (Edinburgh Universiti – Scotland)



Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >