Topik diikuti
Pergi ke BHkuDanelle Tan lanjut tempoh bersama Tokyo Verdy Beleza
Danelle Tan lanjut tempoh bersama Tokyo Verdy Beleza
Danelle Tan lanjut tempoh bersama Tokyo Verdy Beleza
Menyedari potensi perkembangannya di Jepun, pemain bola sepak wanita Singapura, Danelle Tan, menandatangani lanjutan kontrak selama setahun dengan Tokyo Verdy Beleza pada 13 Julai.
“Saya benar-benar menikmati waktu saya di Beleza musim lepas, oleh itu, melanjutkannya terasa seperti perkara yang wajar.
“Ia merupakan persekitaran yang secara konsisten menghasilkan pemain bertaraf dunia, dan saya tahu saya masih boleh berkembang di sini,” katanya kepada The Straits Times (ST).
Pada musim pertamanya bersama kelab itu – yang meraih tempat ketiga dalam Liga WE – beliau mencatatkan 14 penampilan dan dua gol merentasi semua pertandingan.
Beliau turut membuat penampilan sulung di Liga Juara-Juara Wanita AFC, dan menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan sedang Beleza melangkah ke final, tetapi tewas 0-1 kepada Naegohyang dari Korea Utara.
Terdapat juga pengalaman bermain bersama serta menentang pemain Jepun berkaliber tinggi.
Ini termasuk bekas rakan sepasukannya, Yuzuki Yamamoto, yang menjadi sebahagian daripada kempen kemenangan Jepun dalam Piala Asia Wanita 2026 dan sejak itu, telah menyertai pasukan Amerika Syarikat, Denver Summit.
Walaupun baru berusia 21 tahun, Tan sudah pun menjadi pemain bola sepak yang berpengalaman luas, pernah bermain di Singapura (Still Aerion dan Lion City Sailors); England (London Bees); Jerman (Borussia Dortmund); dan Australia (Brisbane Roar), sebelum berpindah ke Jepun pada 2025.
Mengenai apa yang beliau pelajari di Beleza, beliau berkata:
“Setiap musim adalah tentang peningkatan berterusan saya sebagai pemain. Perkara-perkara kecil semakin bertambah, membetulkan atau memperhalusi pergerakan, dan pada tahap yang lebih tinggi, jurang perbezaannya semakin tipis.
“Jadi, ia menjadi tentang mempertajamkan kekuatan anda dan menjadikan kelemahan anda lebih sukar dieksploitasi.”
Beleza akan memulakan kempen baharu mereka dengan perlawanan liga menentang JEF United Chiba pada 23 Ogos.
Tan sudah pun berazam untuk membantu juara 2024-25 itu kembali ke puncak.
Beliau berkata: “Bersama Beleza, matlamatnya sentiasa untuk menang... kami akan menyasarkan gelaran liga dan kedua-dua piala.”
Selepas menghabiskan beberapa minggu bersama keluarganya di Singapura semasa tempoh rehat, apabila beliau turut menonton siaran Piala Dunia, kini tibalah masanya untuk beliau menunjukkan kehebatannya di Piala AFF Wanita yang berlangsung dari 10 hingga 22 Julai.
Kejohanan wanita peringkat kedua Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) itu merangkumi enam pasukan berkedudukan lebih rendah dari rantau ini yang akan bersaing untuk tiga tempat di Kejohanan Wanita Asean 2027.
