Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia, Laos menanti skuad bola sepak negara di Piala Wanita AFF
M’sia, Laos menanti skuad bola sepak negara di Piala Wanita AFF
Ujian pertama jurulatih baru Mihoko Ishida, S’pura ranking paling rendah dalam Kumpulan A
M’sia, Laos menanti skuad bola sepak negara di Piala Wanita AFF
Keupayaan sebenar pasukan bola sepak wanita negara bakal diuji dengan ketara selepas mereka diundi menyertai kumpulan mencabar dalam Piala Wanita Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Malaysia dari 10 hingga 22 Julai.
Pada majlis pemilihan di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Petaling Jaya, Selangor, pada 22 Jun, Singapura yang berada di kedudukan ke-151 dunia diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Malaysia (ke-95) dan Laos (ke-117).
Juara bertahan, Indonesia (ke-110), Kemboja (ke-113) dan Timor Leste (ke-158) pula diundi ke Kumpulan B bagi kejohanan enam pasukan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Selepas peringkat kumpulan secara liga sepusingan tanding padan gilir (’round robin’), dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Kedua-dua finalis serta pemenang perlawanan penentuan tempat ketiga akan layak ke Kejohanan Wanita Asean.
Kapten pasukan, Siti Rosnani Azman, berkata:
“Sudah lama kami tidak bertemu Malaysia, jadi ini peluang baik untuk mengukur tahap kami ketika ini.
“Bagi Laos pula, kami tidak akan memandang rendah terhadap mereka walaupun pernah menewaskan mereka dalam kelayakan AFF yang lalu.
“Banyak perkara boleh berubah, jadi kami akan membuat persiapan rapi dan turun dengan semangat yang kuat untuk memburu kemenangan.”
Ia dijangka menjadi perlawanan sukar kerana Singapura hanya pernah sekali menewaskan Malaysia dalam tujuh perlawanan sepanjang 19 tahun lalu.
Kemenangan terakhir pasukan bergelar Lionesses itu ke atas saingan mereka itu ialah pada 2007, dengan keputusan 1-0 dalam kelayakan Piala Asia.
Sejak itu, Malaysia memenangi semua perlawanan menentang Singapura kecuali seri tanpa jaringan dalam Kejohanan Wanita AFF 2022.
Singapura memiliki rekod lebih baik ke atas Laos dengan tiga kemenangan daripada empat pertemuan sejak 2011.
Ini ujian besar pertama Lionesses di bawah jurulatih baru dari Jepun, Mihoko Ishida, yang mengambil alih daripada Karim Bencherifa pada April.
Sebagai persediaan, di mana Ishida menyasarkan tempat di final, pasukan itu mengharungi dua perlawanan persahabatan di Bandung pada awal Jun, mencatat kemenangan 2-0 ke atas Indonesia sebelum tewas 5-0 kepada Kemboja.
Ishida berkata perlawanan itu memberikan pengajaran berharga.
“Kami akan menilai semula pengalaman ini, menangani cabaran yang dihadapi dan menggunakannya untuk memperkukuhkan persiapan bagi Piala Wanita AFF.”
Pada edisi 2024, Singapura menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Timor Leste 1-0 untuk meraih tempat kelayakan terakhir ke Kejohanan Wanita Asean 2025.
Namun, mereka menarik diri dua bulan sebelum kejohanan itu bermula.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyatakan pertindihan jadual, tahap persediaan pasukan dan tumpuan terhadap pertandingan utama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai sebab utama.
Jadual Lionesses ketika itu turut merangkumi kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun, yang bertembung dengan kejohanan Asean tersebut.
Timor Leste kemudian mengambil tempat mereka menyertai juara Piala Wanita AFF, Indonesia, bersama naib juara, Kemboja, dan pasukan peringkat tinggi di rantau ini, Thailand, Vietnam, Myanmar, Filipina dan Australia Bawah 23 Tahun, yang muncul juara.
Piala Wanita AFF diperkenalkan dua tahun lalu sebagai kejohanan kelayakan ke Kejohanan Wanita Asean, yang sebelum ini dikenali sebagai Kejohanan Wanita AFF.
