Beberapa tahun lalu, beliau hanya mampu menyaksikan rakan sepasukannya beraksi daripada bangku simpanan selepas kecederaan lutut memaksanya tidak beraksi selama berbulan-bulan.

Kini, pemain bola sepak Singapura, Jacob Mahler, bukan sahaja kembali menyarung jersi skuad negara, malah muncul sebagai salah seorang tonggak penting dalam kempen Piala Asean Hyundai mereka.

Beliau turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika seri dengan Indonesia 1-1 pada 7 Ogos lalu.

Dengan pasukan Singa kini mara ke peringkat separuh akhir, Mahler percaya prestasi menentang Indonesia telah memberikan pasukan itu suntikan keyakinan baharu.

Ini selepas membuktikan bahawa mereka mampu bersaing dengan beberapa pasukan terkuat di rantau ini, termasuk Vietnam dan Indonesia.

“Sudah tentu ia memberikan kami keyakinan dan kepercayaan bahawa kami boleh bersaing dengan pasukan yang bagus,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Namun, pemain berusia 26 tahun itu pantas mengingatkan bahawa perjalanan Piala Hyundai mereka masih belum selesai.

“Kami masih dalam proses untuk menjadi lebih baik.

“Apa yang penting sekarang ialah kekal merendah hati, fokus dan terus membuat persiapan untuk hadapi Thailand,” katanya.

Singa akan berdepan Thailand di Stadium Jalan Besar pada 15 Ogos, dan aksi timbal balik di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 18 Ogos.

Perjalanan Mahler untuk sampai ke tahap ini penuh cabaran.

Pemain Singa, Jacob Mahler, mempamerkan potensi hebat sejak zaman beliau masih belia. Beliau merupakan kapten untuk pasukan Singa bawah 23 tahun dan juga untuk Young Lions pada 2019.
Pemain Singa, Jacob Mahler, mempamerkan potensi hebat sejak zaman beliau masih belia. Beliau merupakan kapten untuk pasukan Singa bawah 23 tahun dan juga untuk Young Lions pada 2019. - Foto SPL

Beliau menyertai Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) sebelum membuat penampilan profesional bersama pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) Young Lions pada 2018, apabila beliau berusia 18 tahun.

Di Young Lions, Mahler bukan sekadar mendapat pengalaman bermain di peringkat senior, malah diberi tanggungjawab sebagai kapten kelab bermula musim 2019.

Beliau menghabiskan beberapa tahun di Singapura sebelum mencuba pengalaman di luar negara, menyertai kelab Indonesia, Madura United, pada 2023.

Pemindahan itu menjadi satu lagi langkah penting dalam perkembangannya.

Mahler beraksi 34 kali untuk Madura United dan membantu kelab itu muncul naib juara pada musim 2023-24.

Beliau kemudian berpindah ke Thailand bersama Muangthong United pada 2024 sebelum kembali ke Singapura dan menyertai Tampines Rovers pada 2025.

Sepanjang kerjayanya, Mahler turut diuji oleh beberapa kecederaan besar.

Pada 2022, beliau mengalami ligamen krusiat anterior (ACL) ketika beraksi di peringkat kelab, menyebabkan beliau terpaksa menarik diri daripada skuad Singapura untuk Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam.

Semasa menjalani kem latihan pasukan kebangsaan di Jepun pada 2024, beliau mengalami pula kecederaan pada lutut kanannya, dengan kecederaan ACL dan ligamen kolateral medial (MCL) yang memerlukan dua pembedahan.

Akibat kecederaan tersebut, pemain muda itu terpaksa berehat daripada beraksi sehingga Ogos 2025, sebelum membuat penampilan sulungnya bersama Tampines.

Malah, perjalanan pemulihannya itu menjadi sesuatu yang masih diingati oleh ketua fisioterapi pasukan kebangsaan, Nurhafizah Abu Sujad.

Mesra disapa sebagai Kak Fizah oleh pasukan Singa, beliau menyaksikan sendiri kededua proses pemulihan kecederaan lutut Mahler – dan berkongsi bahawa ia benar-benar mencabar untuk Mahler dari segi emosinya.

Tetapi yang lebih penting bagi Kak Fizah ialah apa yang berlaku selepas itu.

Mahler kembali dengan tekad untuk menjadi lebih kuat, dan hasilnya mula kelihatan di atas padang.

Kak Fizah ingat persembahan Mahler ketika menentang Vietnam sebagai satu detik istimewa.

Beliau menyifatkan Mahler ketika itu seperti ‘wira’ kerana terus beraksi walaupun mengalami kecederaan pada separuh masa pertama.

Menurut Kak Fizah, bagi seorang pemain yang pernah berdepan tempoh panjang di luar padang, kemampuan untuk kembali ke tahap tertinggi bukan sekadar soal kecergasan fizikal.

Ia juga memerlukan kekuatan mental.

Dan mungkin itulah yang paling jelas kelihatan dalam persembahan Mahler ketika menentang Indonesia.

Selepas menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan, beliau bagaimanapun sekali lagi mengalihkan perhatian kepada usaha pasukan.

“Saya sangat gembira dapat menyumbang, tetapi secara keseluruhannya, yang paling penting ialah persembahan pasukan.

“Kami bertahan dengan baik dan mengambil peluang yang kami ada,” ujar Mahler.

Salah satu perkara yang paling diingatinya daripada malam tersebut bukanlah anugerah individu itu.

Sebaliknya, ia adalah suasana di Stadium Jalan Besar.

Pemain itu berkata sokongan penyokong yang memenuhi stadium tersebut memberikan tenaga dan dorongan tambahan kepada pasukan.

Bagi Mahler, pengalaman itu juga menguatkan kepercayaan bahawa Singapura kini mampu bersaing dengan lawan yang lebih kuat.

Pemain pertahanan Singa, Jacob Mahler (kiri, memeluk ibu), memberi penghargaan kepada ibu bapanya atas sokongan yang telah diberi kepadanya sepanjang kerjaya bola sepaknya. Gambar ini diambil ketika pasukan Singapura berada di Lapangan Terbang Changi, sebelum berangkat ke Vietnam pada Julai lalu.
Pemain pertahanan Singa, Jacob Mahler (kiri, memeluk ibu), memberi penghargaan kepada ibu bapanya atas sokongan yang telah diberi kepadanya sepanjang kerjaya bola sepaknya. Gambar ini diambil ketika pasukan Singapura berada di Lapangan Terbang Changi, sebelum berangkat ke Vietnam pada Julai lalu. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Mahler juga memberi penghargaan kepada sokongan kukuh daripada ibu bapanya atas kebangkitannya.

Beliau mengakui keluarganya memainkan peranan besar dalam kerjayanya, malah menyifatkan mereka sebagai “segala-galanya” baginya.

“Mereka sentiasa ada di lapangan terbang untuk menghantar saya pergi dan menyambut saya ketika saya pulang. Mereka banyak berkorban untuk kerjaya bola sepak saya,” kata anak tunggal itu.

Menurutnya, bapanya yang berasal dari Denmark mengambil pendekatan yang lebih terus terang apabila menilai persembahannya.

Manakala ibunya, seorang warga Singapura, lebih banyak berbual dan memberi sokongan.

Kedua-duanya, kata Mahler, memberikan keseimbangan yang diperlukan untuk membantunya menjadi pemain lebih baik.

Selepas persembahan menentang Indonesia, ibu bapanya yang menyaksikannya secara langsung di stadium segera menghantar mesej kepadanya.

“Mereka sangat bangga dan gembira. Mereka beritahu saya, ‘Ibu dan ayah sangat bangga dengan kamu’,” katanya tersenyum lebar.

Bagi Mahler, kata-kata itu mempunyai makna yang besar dalam perjuangannya sebagai pemain bola sepak negara.

“Apabila saya melangkah ke padang, saya bukan sahaja mewakili mereka, tetapi seluruh negara.”

“Sudah tentu ia memberikan kami keyakinan dan kepercayaan bahawa kami boleh bersaing dengan pasukan yang bagus. Kami masih dalam proses untuk menjadi lebih baik. Apa yang penting sekarang ialah kekal merendah hati, fokus dan terus membuat persiapan untuk hadapi Thailand... Saya sangat gembira dapat menyumbang, tetapi secara keseluruhannya, yang paling penting ialah persembahan pasukan.”
Jacob Mahler.