Pasukan Singa mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Asean Hyundai buat edisi kedua berturut-turut selepas bangkit mengikat Indonesia 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos.

Kemenangan itu menghadiahkan 5,113 penyokong tuan rumah sesuatu untuk diraikan menjelang sambutan Hari Kebangsaan hanya dua hari nanti pada 9 Ogos.

Rentak perlawanan bermula pada intensiti tinggi, dengan kededua pasukan jelas mempamerkan semangat untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Malah, dalam masa dua minit perlawanan bermula, penyerang berbisa Indonesia, Mitch Baker, hampir meletakkan pasukan pelawat di hadapan apabila berjaya melepasi benteng pertahanan Singa.

Namun, Shah Shahiran tampil cemerlang melakukan terjahan tepat pada masanya untuk menyekat percubaan tersebut.

Awal perlawanan, Indonesia melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Singapura, memaksa skuad kendalian Gavin Lee bertahan dengan penuh disiplin.

Bagaimanapun, skuad Singa bukan sekadar bertahan.

Setiap kali berjaya merampas semula penguasaan bola, mereka pantas melancarkan serangan balas yang turut menguji benteng pertahanan lawan.

Peluang terbaik Singapura hadir apabila Lionel Tan melakukan hantaran lintang tepat ke dalam kotak penalti yang menemui Song Ui-young.

Namun, percubaan tendangan leret pemain tengah itu berjaya diselamatkan penjaga gol Indonesia, Cahya Supriadi.

Indonesia kemudian sekali lagi hampir memecah kebuntuan pada minit ke-28.

Hantaran lintang dari sebelah kanan berjaya temui Baker, tetapi tandukannya ditepis dengan cemerlang oleh penjaga gawang Singa, Izwan Mahbud.

Separuh masa pertama berakhir 0-0.

Namun Indonesia yang temui gol pembukaan awal separuh masa kedua.

Kegagalan benteng Singapura mengeluarkan bola dengan kemas di dalam kotak penalti menyaksikan Ragnar Anthonius Maria Oratmangoen menjadi yang paling pantas merembat masuk untuk meletakkan pelawat di hadapan.

Drama kemudian tercetus apabila Song Ui-young dilayangkan kad kuning kedua selepas berlaku pertelingkahan dengan Ivar Jenner, selepas beliau dikasari dalam satu terjahan keras.

Namun, semakan VAR menyaksikan keputusan pengadil dibatalkan, kad kuning terhadap Song ditarik balik dan pemain tengah itu dibenarkan meneruskan permainan.

Sorakan penyokong tuan rumah akhirnya bergema apabila Singapura menemui gol penyamaan hasil tekanan tinggi yang dilakukan Harhys Stewart.

Tekanan itu memaksa penjaga gol Indonesia melakukan kesilapan, menyebabkan bola terlepas di dalam kotak penalti.

Ilhan Fandi yang berada di kedudukan yang tepat merebut peluang tersebut untuk melakukan tendangan leret masuk ke gawang Indonesia, lantas mengikat kedudukan 1-1.

Pasukan Lee sekali lagi mempamerkan semangat juang yang kuat untuk mempertahankan kedudukan tersebut hingga wisel penamat.

Keputusan itu sudah memadai buat Singapura untuk menempah tempat ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut, dengan Singa kini menanti juara Kumpulan B dalam aksi separuh akhir timbal balik.