Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Darren Ong Pemain Boling Terbaik 2023

Apr 15, 2024 | 05:30 AM



Atlet boling negara, Darren Ong, dinobat sebagai Pemain Boling Terbaik 2023 pada majlis anugerah tahunan Persekutuan Boling Singapura (SBF) pada 8 April.

Ini menyusuli pencapaian cemerlang Ong sepanjang 2023, yang turut menyaksikan beliau merangkul gelaran juara perseorangan lelaki pada kejohanan dunia Persekutuan Boling Antarabangsa di Kuwait pada Oktober 2023.

Ia gelaran dunia pertama untuk Singapura sejak Remy Ong memenangi acara itu pada 2006. 

Memenangi anugerah itu adalah sesuatu yang “sangat istimewa”, kata Ong, yang tidak dapat menghadiri majlis penyampaian di Raffles Town Club itu kerana sedang bertanding di Siri Boling XV Persatuan Boling Profesional (PBA) Dunia di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat, lapor The Straits Times.


“Pasukan ini penuh dengan pemain boling bertaraf dunia, jadi untuk dapat menunjukkan kecemerlangan saya pada tahun lalu (2023) dan memenangi anugerah tahun ini (2024) menjadikannya sangat istimewa bagi saya,” kata Ong, 28 tahun.

Beliau hanya pemain boling lelaki kedua, selepas Jaris Goh pada 2018, yang menerima anugerah tersebut sepanjang 10 tahun lalu.

“Kerja keras yang dilakukan selama bertahun-tahun di dalam dan luar latihan telah membolehkan saya mencapai kemenangan ini dan ia tidak mungkin dilakukan tanpa bantuan jurulatih dan kakitangan sokongan kami daripada SBF dan Institut Sukan Singapura,” ujarnya lagi.

Ong turut memenangi dua pingat gangsa di kejohanan dunia itu – dalam beregu lelaki bersama Goh dan dalam acara berpasukan lain.

Beliau menggondol gelaran juara antarabangsa individu pertamanya di Terbuka Antarabangsa Filipina pada Mei, hanya beberapa bulan sebelum kejayaannya di pentas dunia.

Sebelum itu, Ong hampir memenangi gelaran juara antarabangsa pada 2018 apabila beliau menduduki tempat kedua di Kejohanan Terbuka Antarabangsa Hong Kong.

Mengimbas kembali mengenai 2023, Ong berkata: “Ia pastinya satu impian yang menjadi kenyataan, daripada memenangi gelaran juara terbuka pertama saya hingga menamatkan tahun itu dengan memenangi emas dan dua gangsa di kejohanan dunia.”

Beliau percaya tumpuan yang diberikan sepenuhnya pada boling setelah menamatkan pengajian di Universiti RMIT pada Mei 2023 faktor penting bagi prestasi cemerlangnya musim lalu.

Beliau juga menekankan kepentingan sokongan Biasiswa Kecemerlangan Sukan (spexScholarship), yang membolehkannya bersaing dalam pelbagai kejohanan sepanjang tahun, membantunya memperoleh pengalaman berharga dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahannya.

Memandang ke hadapan, Ong berharap dapat terus meningkatkan kemahirannya ketika bersaing dengan pemain boling terbaik dalam kejohanan Jelajah PBA. 

Beliau juga menyasarkan tempat dalam pasukan Singapura untuk Kejohanan Boling Tenpin Asia pada September di Bangkok, Thailand.

Sementara itu, Colleen Pee, merangkul anugerah Pemain Boling Muda Terbaik untuk kali kedua berturut-turut.

Pemain boling berusia 19 tahun itu memenangi emas dan dua gangsa pada Kejohanan Boling Tenpin Remaja Asia 2023 serta perak beregu wanita dan gangsa berpasukan pada kejohanan dunia.

Pee, yang berada di musim terakhirnya sebagai pemain boling remaja, berharap mendapat tempat di Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung dari 7 hingga 18 Julai di Korea Selatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >