Pelajar Politeknik Temasek (TP), Aiman Raedyn Lim Jen, telah memenangi pingat emas perseorangan dalam Kejohanan Boling Tenpin Junior Asia ke-22.
Kejohanan tersebut berlangsung di Singapore Bowling @ Rifle Range pada 19 hingga 25 Ogos.
Beliau merupakan pemenang kejohanan tersebut yang pertama buat Singapura, sejak 2012 dengan mendapat 1,373 mata, lapor akhbar The Straits Times.
Tempat kedua jatuh kepada pemain Qatar, Bader Al Sada , yang mendapat 1,366 mata. Tempat ketiga pula jatuh kepada pemain Jepun, yang mendapat 1,297 mata.
Aiman berjaya mengatasi 79 pemain lain dari serata dunia, termasuk negara seperti Jepun, Qatar, Malaysia dan lain-lain lagi.
“Saya rasa hebat bahawa saya telah dapat memenangi pingat emas,” jawab pemain boling berusia 18 tahun itu apabila ditanya tentang perasaannya setelah memenangi kejohanan tersebut.
“Namun saya juga rasa sedih sedikit kerana anggota sepasukan saya tidak dapat memenangi kejohanan ini,” tambah beliau.
Anggota pasukannya yang berada dalam kedudukan terdekat adalah Brian Ngoi, yang mendapat 1,282 mata dan menduduki tempat kelima.
Walaupun beliau amat gembira dapat memenangi pingat emas bahagian perseorangan, beliau berasa bahawa acara berpasukan akan lebih bermakna buat dirinya.
Beliau menegaskan bahawa pencapaiannya adalah hasil usaha rakan sepasukan.
Beliau telah memulakan permainannya dengan baik, mendapat 225, 222, 247 dan 255 mata untuk empat permainan pertamanya.
Aiman berkongsi bahawa anggota pasukannya telah cuba untuk menenangkan dirinya semasa dua permainan terakhirnya.
Jurulatihnya juga membantunya untuk mengenal pasti lorong mana yang terbaik untuk mendapatkan mata yang tinggi.
Beliau akui bahawa dirinya rasa sangat gementar semasa dua permainan akhirnya kerana beliau harus kekalkan rentak prestasi yang baik.
Ini merupakan cabaran terbesar baginya kerana lorong boling kian mencabar dan tenaganya pula semakin berkurangan.
Namun, beliau tetap berusaha dan berjaya mendapatkan mata yang cukup baik untuk permainan terakhir.
Kemenangan ini sangat bermakna bagi beliau kerana ia melambangkan kerja keras dan usaha yang diluahkan oleh dirinya, pasukannya dan juga jurulatihnya untuk kejohanan itu.
Penolong jurulatih nasional, Jensen Lim, mengaitkan kejayaan di sebalik kejohanan tersebut dengan permainan konsisten yang Aiman pamerkan.
“Jurulatih-jurulatih Akademi Trinity Boling yang memberitahu saya tentang potensi saya dalam boling. Ini membakar semangat saya untuk lakukan dengan lebih baik,” kata Aiman.
“Tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini sekarang,” tambah beliau.
Beliau turut berterima kasih kepada anggota keluarganya kerana sokongan yang diterimanya, Persekutuan Boling Singapura (SBF) dan pemain boling daripada akademi lain yang memberinya perangsang.
Aiman kini menantikan acara-acara boling yang akan datang.
Selanjutnya beliau ingin memenangi pingat untuk acara berpasukan kerana baginya, pencapaian itu akan mempamerkan kesemua usaha sebenar rakan sepasukan.