Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perenang buta antara pilihan dalam Paralimpik Paris

Pemegang rekod dunia dan bintang TikTok hilang daya penglihatan pada usia 14 tahun
Jul 8, 2024 | 5:30 AM
Wakil Amerika Syarikat dalam Sukan Paralimpik Paris, Anastasia Pagonis, berlatih di Pusat Akuatik Nassau di New York.
Wakil Amerika Syarikat dalam Sukan Paralimpik Paris, Anastasia Pagonis, berlatih di Pusat Akuatik Nassau di New York. - Foto AFP

NEW YORK: Perenang Amerika Syarikat, Anastasia Pagonis, dianggap sebagai inspirasi kepada ramai golongan kurang upaya.

Beliau seorang perenang Paralimpik yang pernah meraih pingat emas, pemegang rekod dunia, dan bintang TikTok – semua ini diraih sebelum beliau berusia 19 tahun dan hanya lima tahun selepas menjadi buta.

Pada usia 14 tahun, Pagonis hilang daya penglihatannya akibat masalah retinopati autoimun, yang dianggap penyakit yang jarang berlaku.

Retinopati autoimun adalah keadaan apabila sistem daya tahan pesakit menyerang protein di dalam retina, sehingga menyebabkan hilangnya daya penglihatan.

Menyesuaikan diri dengan realiti baru mengambil sedikit masa tetapi Pagonis tidak pernah menjadikan sebarang halangan yang dihadapi sebagai sesuatu yang tidak dapat diatasinya.

Selepas sedikit tempoh penyesuaian yang juga termasuk sesi terapi dan mengimbas kembali kehidupannya semula, Pagonis mengambil keputusan untuk mendakap kehidupan barunya kini dan kembali melakukan perkara yang diminatinya – berenang.

Beliau juga giat berkongsi video di TikTok dan Instagram yang mendidik orang ramai mengenai masalah daya penglihatan.

“Selepas lapan bulan menjadi buta, saya anggap inilah diri saya yang baru. Inilah yang akan berlaku pada diri saya.

“Namun saya tidak akan biarkan hal ini menjejas diri saya,” katanya.

Selepas belajar semula cara berenang tanpa penglihatan, Pagonis mula bersaing dalam perlumbaan sukan para elit.

Kemenangan besar pertama yang diperolehinya adalah semasa beliau membuat penampilan antarabangsa selaku perenang dalam salah satu kategori sukan para, S11.

Dalam kategori itu, perenang yang hampir buta sepenuhnya, berlumba dengan memakai gogal hitam. Perlumbaan tersebut berlangsung dalam Siri Dunia Renang Para 2020.

Kebetulan Pagonis juga menjuarai perlumbaan tersebut dalam acara renang 400 meter gaya bebas.

Ini merupakan antara pencapaian terbaik Pagonis sebagai perenang profesional.

Pagonis kemudian memecahkan rekod dunia 400 meter bagi kategori S11 di kededua sesi percubaan Paralimpik pada Jun 2021 dan memecahkan rekodnya sendiri dalam final.

Beliau juga meraih pingat emas dalam gaya bebas 400 meter S11 dalam kejohanan Paralimpik Musim Panas 2020 di Tokyo.

Beliau mencipta sejarah dan memecahkan rekodnya sekali lagi – dua saat lebih pantas.

Semua itu dicapainya semasa beliau berusia 17 tahun.

“Ia memang luar biasa. Apabila saya dengar pengumuman dibuat, saya sedang berjalan keluar sambil dipimpin. Pada ketika itu, saya dengar nama saya disebut sebagai pemenang pingat emas dengan satu rekod dunia dicapai.

“Dengan serta-merta saya lahirkan rasa terima kasih dan saya mula melonjak kerana terlalu gembira.

“Saya seperti tidak percaya yang saya telah menang pingat emas dan catat rekod dunia. Memang luar biasa,” tambahnya.

Pagonis dikatakan telah disertakan dalam pasukan Paralimpik wakil Amerika selepas berjaya memecahkan rekod dalam acara gaya bebas 50 meter S11.

Selepas kembali daripada kecederaan, beliau dikatakan telah menjadi lebih kuat dan kemudian berhasil menempatkan diri sebagai salah seorang wakil Amerika ke sukan Paralimpik Paris.

Pagonis dilaporkan mengalami pembedahan pada bahunya hanya setahun sebelum sukan Paralimpik akan datang.

“Saya ingin kembali dengan lebih cemerlang, apatah lagi selepas mengalami kecederaan tahun lalu (2023) yang agak menakutkan saya, hanya setahun sebelum sukan Olimpik yang akan datang.

“Saya benar-benar berharap untuk mengekalkan kejuaraan dunia dalam acara lain, selain gaya bebas 400 meter,” katanya.

Pagonis dilaporkan sedang memberi tumpuan dalam penjagaan diri sebagai persiapan bagi minda dan fizikalnya.

Pagonis mula membuat penampilan antarabangsanya dalam acara Siri Dunia WPS 2020 di Melbourne Australia.

Di sana, beliau memenangi pingat emas dalam acara gaya bebas 400 meter dan gangsa dalam acara bercampur 200 meter.

Beliau juga menduduki tempat kelapan dalam gaya bebas 50 meter dan tempat keempat dalam gaya bebas 100 meter.

Pada April 2020, Pagonis dinamakan sebagai salah seorang wakil Amerika di Kejohanan Renang Para Dunia 2022. – Agensi berita.

“Ia memang luar biasa. Apabila saya dengar pengumuman dibuat, saya sedang berjalan keluar sambil dipimpin. Pada ketika itu, saya dengar nama saya disebut sebagai pemenang pingat emas dengan satu rekod dunia dicapai. Dengan serta-merta saya lahirkan rasa terima kasih dan saya mula melonjak kerana terlalu gembira. Saya seperti tidak percaya yang saya telah menang pingat emas dan catat rekod dunia. Memang luar biasa.”
Anastasia Pagonis, atlet renang Paralimpik.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg