Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, mengakui beliau “mungkin sepatutnya lebih beradab” selepas dirakam menggelar pemain dan penyokong pasukan Hong Kong sebagai bodoh (idiot), menyusuli perlawanan kelayakan Piala Asia antara Singapura dengan Hong Kong pada 18 November.
Selepas kemenangan bersejarah 2-1 di Stadium Kai Tak, yang membolehkan pasukan Singa mara ke Piala Asia buat kali pertama sejak 1984, Encik Neo dilihat dalam satu video tular memberitahu para pemain:
“Ia hebat, pasukan (Singa) memang hebat. Kamu berdepan tekanan daripada mereka, semua penyokong itu sangat bodoh, sehingga para pemain juga bermain seperti orang bodoh… Tetapi kamu semua bermain seperti singa.”
Sebagai respons kepada seorang pengguna dalam talian yang menyifatkan kata-katanya “langsung tidak wajar”, Encik Neo membalas:
“Memang benar saya mungkin sepatutnya lebih beradab. Saya tarik balik apa yang saya katakan.
“Pasukan Hong Kong memang sukar ditundukkan dan penyokong mereka memberi sokongan hebat. Itu sesuatu yang patut kita hormati, dan mari kita juga sokong pasukan Singa kita.”
Pasukan tuan rumah itu mendapat sokongan seramai 47,762 penyokong di padang sendiri, namun akhirnya tewas dalam perlawanan penentuan.
Ini membolehkan Singapura layak ke Piala Asia buat kali pertama sejak 1984, ketika menjadi tuan rumah.
Klip itu dipercayai dirakam di bilik persalinan selepas perlawanan, lapor The Straits Times (ST).
Di akaun Instagram beliau, Encik Neo turut memuat naik video dengan latar sama, menunjukkan beliau memberitahu pasukan, “kita benar-benar mencipta sejarah malam ini”, yang disambut sorakan meriah daripada para pemain.
Hantaran tersebut menyambut pelbagai reaksi daripada netizen.
Pengguna @aw04d4wat berkata: “Apa yang dikatakan di bilik persalinan, sepatutnya kekal di sana.
“Mari kita teruskan dan jangan biarkan perkara ini mengalihkan perhatian daripada matlamat sebenar iaitu mempertingkatkan prestasi bola sepak Singapura.”
Pengguna @dominicpoon menambah: “Secara adil, ucapan di bilik persalinan Hong Kong pasti 1,000 kali lebih meriah.”
Namun, seorang pengguna lain, @briearn, menyifatkan kejadian itu sebagai “sifat kesukanan yang sangat buruk”.
Di padang, pasukan Hong Kong yang berada di kedudukan ke-148 dunia memulakan perlawanan dengan padu, menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-15 melalui Matt Orr, namun gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk melebarkan jaringan menjelang separuh masa.
Singapura bangkit pada separuh masa kedua, dengan jaringan oleh Shawal Anuar dan Ilhan Fandi, bagi memastikan pasukan Singa layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi sebagai juara Kumpulan C.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg