Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

De Bruyne selamatkan Belgium dari kebangkitan Wales

Jun 10, 2025 | 3:39 PM
Pemain Wales kelihatan kecewa selepas perlawanan pada 9 Jun.
Pemain Wales kelihatan kecewa selepas perlawanan pada 9 Jun. - Foto REUTERS

BRUSSELS: Jurulatih Wales, Craig Bellamy, meluahkan rasa bangga terhadap pemainnya walaupun mereka tewas 3-4 di tangan Belgium dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 9 Jun.  

Kevin de Bruyne muncul sebagai wira Belgium dengan gol kemenangan dua minit sebelum tamat permainan dalam perlawanan di padang sendiri.

Belgium mendahului 3-0 dalam setengah jam pertama, tetapi Wales bangkit untuk menyamakan kedudukan sebelum De Bruyne memberikan pasukannya kemenangan berharga dalam kelayakan Kumpulan J untuk Pusingan Akhir 2026 di Amerika Utara.

“Kami berasa amat bangga. Kami tidak mendapat momentum pada separuh masa pertama apabila sepakan penalti diberikan terhadap kami. Kami menghadapi sedikit kesukaran. Kami mendapat penalti dan ia memberikan keyakinan itu kepada kami,” kata Bellamy.

“Kami dapat menggerakkan bola dengan momentum dan separuh masa kedua amat cemerlang.

“Sejak September, sejak saya menyertai mereka, saya berasa amat bangga menjadi jurulatih mereka. Selepas setiap sesi latihan dan setiap perlawanan, saya rasa begitu.

“Pada separuh masa kedua, saya harap mereka telah melihat apa yang mereka boleh lakukan, dan betapa berbakatnya mereka. Itu menggembirakan saya. Saya harap ini memberi kami keyakinan untuk menjadi pasukan yang kami mahukan. Kami akan teruskan,” tambah beliau.

Ia adalah pertemuan yang penuh kontroversi dengan dua penalti dan beberapa intervensi panjang oleh video penolong pengadil (VAR).

Penjaring terbanyak Belgium, Romelu Lukaku, berjaya dengan sepakan penalti pada minit ke-15, diikuti gol pada minit ke-19 untuk kapten Youri Tielemans dan Jeremy Doku pada minit ke-27.

Wales membalas satu gol daripada sepakan penalti Harry Wilson pada separuh masa pertama dan kemudian mengubah permainan dengan jaringan separuh masa kedua daripada Sorba Thomas dan Brennan Johnson.

De Bruyne, bagaimanapun, membawa kelegaan kepada pasukan tuan rumah dengan penyudah di tiang belakang pada minit ke-88 ketika beliau masuk untuk mendapatkan hantaran lintang panjang Tielemans dari seberang padang.

Harapan Wales musnah pada penghujungnya untuk susut ke tangga kedua dalam kedudukan di belakang Macedonia Utara, yang menang 1-0 di tempat lawan di Kazakhstan sebelum ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg