Pasukan bola sepak wanita Singapura telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada Kejohanan Wanita Asean yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 19 Ogos, walaupun layak ke kejohanan tersebut.
Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan teliti terhadap jadual perlawanan yang bertindih serta tahap persiapan pasukan itu untuk menghadapi kejohanan penting di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Menurut kenyataan media oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 9 Jun, dua kejohanan utama – Kelayakan Piala Asia Wanita AFC dari 23 Jun hingga 5 Julai, dan Kelayakan Piala Asia Wanita Bawah 20 Tahun AFC dari 2 hingga 10 Ogos – menjadi faktor utama dalam keputusan tersebut.
Sukan SEA di Thailand pada Disember turut diambil kira.
Ketua jurulatih, Karim Bencherifa, menjelaskan bahawa keputusan untuk menarik diri itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun perlu dilakukan.
“Kami telah bekerja keras untuk melayakkan diri secara merit ke kejohanan tersebut, dan kami semua kecewa kerana terpaksa melakukan perkara ini. Tetapi dengan beberapa kejohanan penting yang datang secara berturut-turut – malah ada juga yang bertindih – keutamaan kami mestilah melindungi kesihatan dan kesejahteraan pemain kami,” kata beliau.
Dengan purata usia sekitar 21 tahun, ramai pemain menghadapi cabaran mengimbangi komitmen kerja dan pengajian bersama empat kejohanan utama di peringkat antarabangsa pada 2025.
Bencherifa menekankan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada kejohanan-kejohanan tertentu agar pasukan itu kekal cergas dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.
Tumpuan utama ketika ini adalah pada Kelayakan Piala Asia, diikuti oleh Kelayakan Bawah 20 Tahun dan seterusnya Sukan SEA.
FAS komited untuk memastikan pasukan kebangsaan diberikan peluang terbaik untuk beraksi dengan cemerlang melalui penyertaan yang strategik dan persiapan yang rapi.
Kapten pasukan, Rosnani Azman, meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa melepaskan peluang menyertai kejohanan Asean, namun mengakui bahawa pemulihan pemain perlu diutamakan.
Ramai pemain terpaksa mengimbangi tanggungjawab terhadap pelajaran, kerja, kelab, dan pasukan kebangsaan, dan ini menjadikan waktu rehat sesuatu yang amat berharga, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg