Arsenal tersingkir secara mengejut daripada saingan Piala Carabao di padang Fleetwood Town, sekali gus menyaksikan kelab Liga Dua itu melakar antara kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan berkenaan.

Juara Liga Perdana England (EPL) kendalian Mikel Arteta itu tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada skuad Fleetwood yang berada 84 anak tangga di bawah mereka dalam kedudukan bola sepak England.

Menyusuli kemenangan bersejarah Fleetwood, Berita Harian (BH) menyorot kembali beberapa siri kejutan terbesar sepanjang zaman dalam Piala Liga Bola Sepak England (EFL).

Fleetwood 1-1 Arsenal (5-3 menerusi penalti, 2026)

Fleetwood Town meraikan kemenangan terbesar dalam sejarah kelab itu pada 27 Oktober apabila menewaskan naib juara Liga Juara-Juara, Arsenal, untuk mara ke suku akhir Piala Liga di Stadium Highbury.

Kelab divisyen empat dalam senarai bola sepak England itu mengejutkan pasukan pelawat apabila Aaron Loupalo-Bi meletakkan Fleetwood – yang bergelut di tangga ke-18 Liga Dua – di hadapan pada minit ke-21.

Viktor Gyokeres berjaya menyamakan kedudukan buat Arsenal sejurus separuh masa kedua bermula.

Namun, The Gunners gagal mengekalkan momentum tersebut sebelum terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-86 susulan tindakan bintang remaja, Max Dowman, yang membalas kekasaran Harrison Neal.

Dalam penentuan sepakan penalti, penjaga gol Fleetwood, Jay Lynch, menafikan percubaan Bruno Guimaraes sebelum Conor Haughey menyempurnakan sepakan penalti kemenangan untuk mencetuskan sambutan penuh emosi di atas padang dan di tempat duduk penonton.

Grimsby 2-2 Manchester United (12-11 menerusi penalti, 2025)

Sesuatu kejutan luar biasa bukan sahaja dinilai dari segi jurang pencapaian kedua-dua pasukan, malah bagaimana perlawanan itu berlangsung.

Skuad kelab Liga Dua, Grimsby Town, bukan sekadar berjaya menumbangkan gergasi EPL, Manchester United, malah ia mendahului 2-0 seawal 30 minit pertama perlawanan hasil jaringan Charles Vernam dan Tyrell Warren.

Pasukan pelawat kemudian merapatkan jurang menerusi Bryan Mbeumo ketika perlawanan berbaki 15 minit, dan peluang bagi United untuk mara ke pusingan seterusnya kelihatan cerah selepas Harry Maguire menyamakan kedudukan pada minit ke-89.

Namun, drama sebenar tercetus dalam penentuan sepakan penalti, yang menyaksikan hanya pemain Grimsby, Clarke Oduor dan bintang United, Matheus Cunha, gagal menyempurnakan percubaan selepas kesemua 11 pemain bagi kedua-dua pasukan selesai mengambil sepakan.

Penentuan penalti diteruskan dan sejurus Darragh Burns meletakkan Grimsby di hadapan 12-11, rembatan sepakan kedua Mbeumo sekadar menggegar palang gol bagi menamatkan perjuangan The Red Devils.

Bradford City 1-1 Arsenal (3-2 menerusi penalti, 2012)

Pastinya Arsenal merupakan pilihan utama dalam pertembungan antara kelab divisyen empat, Bradford City, menentang kelab EPL itu di peringkat suku akhir Piala Liga.

Kelab divisyen empat, Bradford City, meraikan kejayaan menewaskan Arsenal dalam peringkat suku akhir Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti 3-2, pada 11 Disember 2012.
Kelab divisyen empat, Bradford City, meraikan kejayaan menewaskan Arsenal dalam peringkat suku akhir Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti 3-2, pada 11 Disember 2012. - Foto EFL

Tampil bersemangat di padang sendiri menentang skuad kendalian Arsene Wenger, pemain Bradford, Garry Thompson, melepaskan rembatan untuk meletakkan The Bantams di hadapan.

Arsenal bangkit menyamakan kedudukan 1-1 dengan Thomas Vermaelen menanduk masuk hantaran lintang Santi Cazorla ketika waktu perlawanan berbaki dua minit.

Menanggung nasib sama seperti pemain United, Mbeumo, yang gagal menyempurnakan sepakan penentu selepas menjaringkan gol dalam masa perlawanan utama, kegagalan Vermaelen itu akhirnya membolehkan Bradford mara dengan kemenangan 3-2 menerusi penentuan penalti. 

Northampton 2-2 Liverpool (4-2 menerusi penalti, 2010)

Liverpool turut tidak terlepas daripada berdepan kejutan dalam saingan Piala Liga, lebih-lebih lagi apabila kekalahan itu dialami di padang sendiri, Anfield. 

Kelab Liga Dua, Northampton Town, meraikan kejayaan bersama penyokong menewaskan Liverpool pada pusingan ketiga Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti 4-2, pada 22 September 2010.
Kelab Liga Dua, Northampton Town, meraikan kejayaan bersama penyokong menewaskan Liverpool pada pusingan ketiga Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti 4-2, pada 22 September 2010. - Foto EFL

Milan Jovanovic menjaringkan gol pembukaan buat Liverpool, namun pemain pasukan lawan, Billy McKay, bangkit menyamakan kedudukan sebelum Michael Jacobs menolak masuk gol kedua bagi meletakkan The Cobblers di hadapan pada awal masa tambahan.

Ketika Liverpool di ambang kekalahan, tandukan David Ngog pada lewat masa tambahan mengikat kedudukan 2-2 bagi mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti. 

Northampton akhirnya muncul pemenang apabila Abdul Osman kekal tenang menyempurnakan sepakan penentu. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti