Topik diikuti
Pergi ke BHkuIraola pikul tugas berat jadikan Anfield ‘kubu kuat’
Iraola pikul tugas berat jadikan Anfield ‘kubu kuat’
LIVERPOOL: Walaupun masih pada peringkat awal, pengurus Liverpool, Andoni Iraola, sudah pasti menyedari jika beliau mahu tempoh tugasnya di kelab itu mencapai kejayaan, beliau mesti menjadikan Anfield ‘kubu kuat’ semula yang digeruni pasukan lawan.
Buat masa ini, cabaran yang dihadapi adalah amat nyata.
Liverpool beraksi cemerlang pada sebahagian besar perlawanan menentang Manchester City yang tiba di Anfield pada 11 Oktober dengan rekod kemenangan 100 peratus.
Namun, sebaik sahaja Ryan Gravenberch dilayangkan kad merah pada minit ke-62, prestasi mereka terus goyah hingga tewas 0-3.
Iraola berkata selepas perlawanan:
“Kami seolah-olah bermain dalam dua perlawanan yang berbeza. Satu perlawanan sebelum kad merah, dan satu lagi selepasnya.
“Selama 60 minit, pemain beraksi dengan sangat baik. Namun, dalam perlawanan kedua selepas kad merah itu, City tampil lebih baik daripada kami.”
Keputusan itu sekalu pun menamatkan rekod tanpa kalah Iraola dan pasukan barunya musim ini.
Kekalahan itu merupakan kekalahan pertama Iraola dalam 24 perlawanan Liga Perdana England (EPL) – (10 menang, 13 seri) sejak Januari 2026, termasuk ketika beliau mengendalikan Bournemouth.
Namun bagi The Reds, mereka kini gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan EPL di padang sendiri musim ini – buat kali kedua dalam sejarah kelab.
Namun, mereka telah menang di Anfield dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala Carabao.
Deretan perlawanan tanpa kemenangan dalam liga di Anfield itu sebenarnya berlarutan sejak musim lepas dengan Liverpool kini mencatat lima perlawanan tanpa kemenangan berturut-turut di padang sendiri bagi saingan EPL (empat seri, satu kalah).
Mengimbas prestasinya sejak awal 2026, Liverpool hanya mampu mencatatkan empat kemenangan daripada 13 perlawanan EPL di Anfield.
Malah, mereka telah memenangi lebih banyak perlawanan di padang lawan berbanding di padang sendiri dalam tempoh berkenaan.
Meneliti statistik secara lebih mendalam jelas menunjukkan prestasi Liverpool di padang sendiri semakin merosot dari musim ke musim sejak 2023/24, walaupun penting untuk diambil kira bahawa jumlah perlawanan bagi musim 2026/27 ini masih amat kecil.
Pasukan pelawat mempunyai peratusan kemenangan yang lebih rendah di Anfield (12.5 peratus) berbanding di mana-mana stadium lain dalam sejarah EPL.
Namun begitu, adakah reputasi sedemikian kini semakin terhakis?
Bekas pemain tengah Manchester United, Paul Scholes, memberitahu podcast, The Good, The Bad and The Football pada September:
“Apabila anda bertandang ke padang Liverpool, terutamanya sewaktu era Jurgen Klopp, sorakan penyokong memainkan peranan yang amat besar.
“Kini, suasana itu seakan-akan sudah hilang. Saya rasa penyokong tidak begitu seronok dengan apa sedang berlaku di sana buat masa ini.
“Dahulu apabila kami bertandang ke sana, saya sering berfikir, ‘bagaimana kita nak dapatkan bola?’, kerana mereka sentiasa mengasak anda.
“Kini, pasukan pelawat dilihat mempunyai lebih banyak penguasaan bola dan kelihatan jauh lebih selesa berbanding sebelum ini.” – Agensi berita.