Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuardiola enggan ulas masa depan selepas harapan juarai EPL terkubur
Guardiola enggan ulas masa depan selepas harapan juarai EPL terkubur
Keputusan seri 1-1 dengan Bournemouth berikan Arsenal kejuaraan EPL dengan musim berbaki satu perlawanan
Guardiola enggan ulas masa depan selepas harapan juarai EPL terkubur
BOURNEMOUTH: Pep Guardiola berdepan detik penuh kekecewaan apabila impian Manchester City merebut kejuaraan Liga Perdana England (EPL) musnah apabila mereka seri bersama Bournemouth.
Namun, beliau sekali lagi mengelak daripada mengulas mengenai masa depannya.
Pengendali dari Sepanyol itu menegaskan belum ada sebarang keputusan dibuat sambil menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk membuat pengumuman besar.
City perlu menang untuk mengheret penentuan kejuaraan ke hari terakhir, tetapi Bournemouth berjaya melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada 17 perlawanan liga, satu pencapaian yang telah mengesahkan tempat mereka ke saingan Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab tersebut.
Keputusan seri 1-1 pada 20 Mei itu meranapkan peluang City dalam perebutan gelaran EPL.
Jaringan penyamaan lewat daripada Erling Haaland berlaku terlalu lewat untuk menghidupkan semula cabaran mereka, sekali gus menjadikan aksi terakhir musim menentang Aston Villa pada 24 Mei lebih kepada kemungkinan perpisahan beremosi buat Guardiola.
Spekulasi mengenai masa depannya terus hangat diperkatakan dan menambahkan lagi bayangan bahawa satu era di Etihad semakin menghampiri penghujungnya.
Namun, Guardiola tetap enggan memberi gambaran sama ada beliau akan meninggalkan kelab pada akhir musim ini.
“Saya masih mempunyai baki kontrak setahun lagi. Berdasarkan pengalaman saya selama ini, membuat sebarang pengumuman ketika musim masih berlangsung bukan sesuatu yang baik,” kata Guardiola selepas perlawanan.
“Orang pertama yang perlu saya ajak berbincang ialah pengerusi kelab. Kami sudah bersetuju untuk duduk berbincang selepas musim tamat. Selepas itu barulah keputusan akan dibuat.”
“Saya tidak akan bercakap mengenainya di sini kerana saya perlu berbincang dengan pengerusi, pemain dan staf saya terlebih dahulu.
“Ketika kami masih berjuang dalam Piala FA, memburu tempat ke Liga Juara-Juara dan bersaing dalam Liga Perdana, fokus saya hanyalah memastikan pasukan memperoleh keputusan terbaik. Dan kami sudah memberikan segalanya,” katanya.
Keputusan seri itu menjadi satu lagi episod mengecewakan buat City dalam musim yang menyaksikan mereka berjuang habis-habisan sehingga ke penghujung musim, namun akhirnya tersungkur di detik-detik akhir.
Ia turut memadam impian City untuk melengkapkan treble (tiga kejuaraan) domestik selepas mereka sebelum ini sudah menjulang trofi Piala Liga dan Piala FA, dengan kejayaan dalam Piala FA hadir hanya tiga hari sebelum aksi menentang Bournemouth.
Guardiola mengakui jadual padat tiga perlawanan dalam tempoh enam hari jelas memberi kesan kepada pemainnya, terutama pada separuh masa kedua.
“Untuk bermain lagi dalam masa hanya tiga hari memang ia memberi kesan. Itulah hakikatnya,” katanya.
“Pemain sudah memberikan segala-galanya sepanjang musim ini walaupun berdepan pelbagai cabaran. Kami berjuang hingga ke penghujung dan kami hampir berjaya.”
Selepas memenangi perlawanan yang disifatkan sebagai penentu kejuaraan menentang Arsenal pada April, City sekali lagi meletakkan nasib kejuaraan di tangan pesaing mereka apabila seri 3-3 di Everton pada 5 Mei.
Pasukan kendalian Mikel Arteta pula berjaya mencari jalan untuk menang tipis dalam dua perlawanan liga terakhir mereka – 1-0 menentang West Ham pada 10 Mei dan 1-0 menentang Burnley pada 19 Mei – untuk memastikan kejuaraan EPL mereka tidak keciciran. – Agensi berita.
