Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Detik kedua paling gembira selepas Svitolina tewaskan Azarenka di Wimbledon

Jul 10, 2023 | 5:02 PM
RAIKAN KEMENANGAN: Elina Svitolina dari Ukraine begitu gembira selepas menewaskan Victoria Azarenka dari Belarus di Kejohanan Wimbledon di Britain.
RAIKAN KEMENANGAN: Elina Svitolina dari Ukraine begitu gembira selepas menewaskan Victoria Azarenka dari Belarus di Kejohanan Wimbledon di Britain. - Foto EPA-EFE

LONDON: Pemain tenis wanita Elina Svitolina dari Ukraine memenangi pertarungan Wimbledon yang epik dan berunsur politik ke atas pesaingnya dari Belarus, Victoria Azarenka, pada Ahad, menyifatkannya sebagai “saat kedua paling gembira” dalam hidupnya selepas kelahiran anak perempuannya.

Svitolina bangkit 2-6, 6-4, 7-6 (11-9) selepas dua jam 46 minit dalam pertandingan mendebarkan di Gelanggang Satu untuk menempah pertembungan suku akhir dengan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek.

Seperti yang telah menjadi ciri biasanya, Svitolina tidak berjabat tangan dengan Azarenka sebagai bantahan terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine. Belarus adalah sekutu tentera utama Moscow.

Azarenka, yang mengangkat tangannya ke arah Svitolina pada akhir perlawanan, meninggalkan gelanggang dengan ejekan daripada sebilangan peminat.

“Saya rasa selepas melahirkan anak perempuan kami, ini (kemenangan) adalah detik kedua paling gembira dalam hidup saya,” kata Svitolina, yang berkahwin dengan bintang tenis Perancis, Gael Monfils.

“Apabila saya sedih, saya mendengar anda bersorak buat saya dan saya hampir mahu menangis.”

Svitolina, yang telah berjaya ke separuh akhir pertandingan ini pada 2019, ketinggalan 4/7 dalam tiebreak dan hanya tiga mata daripada kekalahan.

Namun, beliau bangkit dan kemudian mencapai kemenangan dengan melakukan ace.

“Saya hanya cuba memikirkan tentang tanah air, orang ramai menyaksikan dan bersorak kepada saya. Saya tahu betapa ia bermakna buat mereka.

“Setiap detik kebahagiaan yang mereka boleh kongsikan amat bermakna. Terdapat masa sukar di Ukraine dan saya bermain di sini di hadapan anda semua.

“Saya tidak boleh mengadu. Saya hanya cuba memenangi setiap mata. Sungguh, terima kasih banyak-banyak,” ujarnya.

Svitolina, 28 tahun, hanya mula kembali aktif menyertai pertandingan pada April selepas cuti bersalin.

Beliau kini telah mara ke lapan tempat terakhir dalam dua kejohanan utama berturut-turut selepas turut mara ke suku akhir Terbuka Perancis.

Svitolina dan beberapa rakan pemain Ukraine semua enggan berjabat tangan dengan pemain dari Russia dan Belarus semasa Terbuka Perancis baru-baru ini.

Namun Svitolina dan Marta Kostyuk diejek oleh penonton Paris kerana pendirian mereka selepas tewas kepada pemain nombor dua dunia Belarus, Aryna Sabalenka. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg