Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan SEA: Dhani menang satu-satunya emas silat; Ferdous terpaksa puas hati dengan perak

Dec 17, 2025 | 9:15 PM
Sukan SEA, pesilat, emas, Dhani Andika Razali
Dhani Andika Razali (tengah) menyumbang satu-satunya pingat emas bagi pasukan silat negara selepas menundukkan Khoirudin Mustakim dari Indonesia 41-21, dalam pertarungan akhir Kelas Bawah 45 Kilogram Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Dewan Impact Forum, Bangkok, pada 17 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dhani Andika Razali sudah lama mengagumi juara dunia silat Singapura seperti Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin dan Sheik Farhan Sheik Alau’ddin.

Beliau masih ingat peluang menyaksikan Ferdous merangkul gelaran juara dunia pertamanya di Kejohanan Dunia 2018 yang berlangsung di Singapura – detik yang membangkitkan semangatnya untuk menyertai silat pada 2019.

Tujuh tahun kemudian, dalam Sukan SEA 2025, Dhani bertanding seiringan dengan Ferdous sebagai rakan sepasukan, dan muncul sebagai satu-satunya pemenang pingat emas skuad silat Singapura.

Atlet berusia 20 tahun itu meraih kejuaraan pertamanya itu bagi kategori Bawah 45 Kilogram Putra selepas menewaskan Khoirudin Mustakim dari Indonesia 41-21 dalam pertarungan sengit di Dewan Impact Forum, Bangkok.

Namun, hasrat pasukan silat negara untuk meraih dua pingat emas tidak kesampaian selepas Ferdous kalah di tangan Nguyen Duy Tuyen dari Vietnam dalam finalnya.

Dhani tidak dapat menahan sebak ketika mengibarkan bendera Singapura, sambil meraikan kemenangannya bersama rakan sepasukan.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau berkongsi kemanisan kejayaannya itu lebih-lebih lagi selepas sekadar menang gangsa semasa tampil di temasya Sukan SEA 2023.

Mengimbas kembali, Dhani berkongsi bahawa beliau rasa sedih semasa meraih pingat gangsa dahulu, tetapi pengalaman tersebut telah membakar semangatnya untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik kali ini.

Beliau melihat peluang menjadi juara dalam Sukan SEA 2025, dengan setiap perancangan dan persiapan dalam perjalanannya seolah-olah telah tersusun ke arah kemenangan, termasuk dalam pilihan lawan di setiap peringkat.

“Saya berasa amat gembira dan bangga, emas ini sangat bermakna buat saya... saya sedar inilah masanya untuk saya membuktikan keupayaan,” kata beliau.

Bagi Dhani, yang masih menjalani Perkhidmatan Negara (NS), segala usaha dan pengorbanannya selama tujuh tahun lalu berbaloi dengan kemenangan itu.

Beliau turut berkongsi tentang disiplin tinggi yang diperlukan untuk memastikan berat badannya kekal di bawah 45 kilogram – walaupun berat badan biasanya adalah 51 kilogram.

Di sebalik kegembiraannya itu, Dhani melahirkan rasa terkilan tidak berpeluang meraih pingat emasnya bersama Ferdous, yang terpaksa berpuas hati dengan sebutir perak.

Dalam aksi pertarungan Kelas I (85-90kg), Ferdous terlepas merebut gelaran juara apabila tewas kepada Nguyen Duy Tuyen dari Vietnam 5-26.

Suasana di dewan menjadi sunyi ketika dua jaguh gergasi itu bertarung di arena, berbeza daripada kekecohan dalam kebanyakan pertarungan sepanjang temasya.

Bak permainan catur yang dipandu strategi, kededua pesilat mengatur langkah dengan penuh teliti. Setiap pukulan dan tendangan dilakukan hanya selepas berfikir berapa langkah ke hadapan.

Namun, usaha Ferdous tidak mencukupi untuk memenuhi hasratnya mencapai gelaran juara Sukan SEA yang pertama baginya.

Dengan itu, pasukan silat mengakhiri kempen Sukan SEA 2025 dengan lima pingat – sebutir emas, dua perak dan dua gangsa.

Satu pingat perak dicapai dalam acara seni Regu putra, manakala pingat gangsa diraih bagi acara Tunggal Puteri.

Tiga pingat yang lain dimenangi bagi acara tanding kelas bawah 45kg, kelas G (75-80kg) dan Kelas I (85-90kg).

Dengan hanya 13 kategori dipertandingkan kali ini, berbanding 22 kategori semasa Sukan SEA Kemboja pada 2023, pasukan silat negara telah menyasarkan sekurang-kurangnya dua pingat emas – untuk kategori tanding dan seni.

Ketua jurulatih silat negara, Rafili Ramli, menilai prestasi anak didiknya tetap positif walaupun sedikit kecewa kerana gagal mencapai sasaran awal.

Dengan pasukan yang lebih muda kali ini, Rafili berharap pesilat yang membuat penampilan sulung dapat meraih pengajaran serta pengalaman yang bermakna.

Beliau, yang berada di temasya Sukan SEA sebagai jurulatih buat kali pertama, berkata: “Walaupun pesilat muda tidak menang kali ini, mereka banyak meraih pengalaman… dari segi fizikal dan bakat, pesilat kami memang setaraf dengan negara lain tetapi perbezaannya adalah dari segi daya tahan mental.”

Yang penting, Rafili yakin generasi pelapis kini lebih mehamami tahap pertarungan sengit dan tinggi di pentas Sukan SEA, dan percaya ia akan membantu membina daya tahan mental yang lebih kuat.

Misalnya, mereka dapat membiasakan diri dengan sorakan gemuruh daripada peminat lawan, serta bertindak dengan segera dalam perlawanan lebih ganas atau strategik dengan lebih tenang.

“Saya yakin ia akan menguatkan lagi semangat mereka untuk beraksi di temasya Sukan SEA 2027 di Malaysia nanti,” tambahnya.

Beliau juga bersyukur pasukannya dapat menyumbang beberapa pingat kepada kontinjen Singapura, walaupun ada rasa sedikit tekanan apabila melihat sukan tempur lain seperti Taekwondo dan Jujitsu merangkul pingat emas sebelum permulaan kempen silat.

Semasa Sukan SEA 2023, pasukan silat Singapura menamatkan temasya dengan meraih dua pingat emas, tiga pingat perak, dan lima pingat gangsa dalam 22 kategori.

Beberapa sukan lain turut menyumbang pingat emas bagi Team Singapore semasa turun beraksi pada 17 Disember.

Antaranya, atlet lawan pedang, Amita Marie Nicolette Berthier, merangkul pingat emas dalam acara foil individu wanita.

Pang Yew En Koen dan Zeng Jian turut memenangi pingat emas bagi acara tenis meja berpasangan.

Boling turut menyumbang emas dengan kemenangan Charmaine Chang dan Arianne Tay dalam acara pasangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg