Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Silat sumbang perak dan gangsa acara seni

Regu lelaki tewas di final kepada Indonesia, sementara Nurin Insyirah tewas di separuh akhir acara seni (tunggal puteri)
Dec 14, 2025 | 8:31 PM
Muhammad Nazrul Mohd Kamal; Muhammadinil Mustafar Mohd Isa dan Muhammad Affiz Mohamed Zakri, silat, sukan sea
Trio regu negara, (dari kiri) Muhammad Nazrul Mohd Kamal; Muhammadinil Mustafar Mohd Isa dan Muhammad Affiz Mohamed Zakri meraih pingat perak dalam acara seni (regu putra) di Dewan Impact Forum, Bangkok pada 14 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Emas yang diharapkan tidak berdaya digenggam dan regu silat lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah tewas kepada juara bertahan acara seni (regu putra) Indonesia pada 14 Disember.

Regu yang dibentuk oleh trio pesilat iaitu Muhammad Affiz Mohamed Zakri, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Muhammadinil Mustafar Mohd Isa meraih 9.935 mata berbanding regu Indonesia yang mengumpul 9.965 mata di final yang diadakan di Dewan Impact Forum di Bangkok.

Walau kecewa, Mustafar berkata beliau dan rakan sepasukan tetap berbesar hati kerana berjaya menguji keupayaan diri sendiri semasa beradu dengan Indonesia – juara bertahan Sukan SEA dan juara bertahan dunia – di gelanggang final.

Malah, pingat perak itu bak ‘pelengkap manis’ bagi trio pesilat yang disatukan dalam regu sama sejak 2022.

Ini adalah kali terakhir mereka beraksi bersama sebagai satu regu kerana Affiz, yang baru sahaja memulakan kerjaya dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) telah mengundur diri daripada pasukan silat negara untuk menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Mustafar berkata:

“Pertandingan kali ini lebih beremosi kerana ini merupakan kali terakhir kami bertanding bersama Affiz.

“Sejak awal lagi, impian kami adalah untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia. Namun bagi saya, keputusan bukanlah perkara utama. Saya percaya bahawa kami telah memberikan usaha yang terbaik di setiap peringkat.”

Sebelum Sukan SEA ini, trio pesilat itu pernah beraksi bersama di Sukan SEA Kemboja pada 2023.

Trio regu itu turut memenangi pingat emas di Kejohanan Asia 2022.

Namun mereka pulang dengan tangan kosong dari Kemboja, menjadikan pingat perak ini keputusan yang terbaik dikecapi bersama.

Hanya Nazrul yang pernah memenangi pingat emas semasa beliau menganggotai regu negara yang memenangi acara sama di Sukan SEA Filipina pada 2019.

“Saya sangat bersyukur dapat menamatkan kempen Sukan SEA kami dengan lebih positif. Kami telah memberi tentangan yang sengit kepada lawan kami dan telah membuat banyak pengorbanan untuk berada di sini,” kata Affiz.

Trio pesilat ini masing-masing terpaksa mengimbangi komitmen memulakan kerjaya baru dengan latihan menjelang Sukan SEA ini.

Selain Affiz, Nazrul juga baru memulakan tugas sebagai teknisyen di syarikat kesihatan Swisslog, manakala Mustafar baru bertugas sebagai teknisyen fizikal dan kesihatan di Sekolah Internasional Nexus (NIS).

Di Bangkok pula, mereka menghadapi tentangan sengit sepanjang laluan ke final.

Mereka meraih kelebihan 0.01 mata masing-masing di peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Pada 13 Disember, mereka mengatasi regu Laos 9.93-9.92 dan menyusuli itu, menundukkan regu Filipina 9.94-9.93.

Sementara itu, Nurin Insyirah Mohamed Aidil, meraih pingat gangsa setelah tewas 9.915 - 9.945 kepada pesilat dari Brunei Darussalam di separuh akhir acara seni (tunggal puteri) pada 14 Disember.

Walaupun kecewa tidak berjaya mara ke final, Nurin, 21 tahun, memberitahu BH beliau tetap bangga dengan pencapaiannya dalam penampilan sulung di Sukan SEA.

Kesemuanya, pasukan silat telah menyumbang satu perak dan satu gangsa untuk negara di akhir acara seni.

“Melangkah ke peringkat separuh akhir Sukan SEA merupakan detik yang membanggakan buat saya. Saya telah melakukan yang terbaik dan pergi sejauh mana saya termampu kali ini,” ujar beliau, yang tidak beraksi dalam sebarang pertandingan dalam tempoh enam bulan menjelang Sukan SEA.

Dalam pada itu, harapan pasukan silat negara untuk mencapai matlamat memenangi sekurang-kurangnya dua pingat emas kian mencabar.

Juara dunia bertahan bagi acara seni (tunggal putra), Muhammad Iqbal Abdul Rahman tersingkir di peringkat sukur akhir pada 13 Disember.

Pada 14 Disember pula, bekas juara dunia 2022, Aniq ‘Asri Mohammad Yazid pula tewas kepada lawan dari Indonesia, Muhammad Zaki Zikrillah Prasong, 40-55 dalam perlawanan suku akhir Kelas C Putra (55-60kg).

Dalam acara tanding kelas D Putra (60-65kg), Ahmad Hanin Abdul Rahim ditumpaskan oleh Minh Triet Nguyen dari Vietnam.

Ini kali ketiga kededua pesilat itu bersua. Hanin mengatasinya di Kejohanan Asia 2024, manakala tewas di dalam Kejohanan Dunia 2024.

Ketua jurulatih, Rafili Ramli, memuji kegigihan anak didiknya yang memaksa lawan mereka bertarung bermati-matian.

Walaupun anak didiknya membawa tentangan yang sengit, beliau mengakui mereka hilang kedudukan akibat terperangkap dalam strategi lawan serta bantahan yang tidak menyebelahi kepada mereka.

Rafili menegaskan bahawa mereka akan melihat semula strategi mereka dan akan bangkit daripada permulaan itu.

 Ahmad Hanin Abdul Rahim (kiri) menjatuhkan lawannya dari Vietnam, Minh Triet Nguyen, dalam perlawanan kelas D putra (60-65kg) Sukan SEA 2025 pada 14 Disember di Dewan Impact Forum, Bangkok.
Ahmad Hanin Abdul Rahim (kiri) menjatuhkan lawannya dari Vietnam, Minh Triet Nguyen, dalam perlawanan kelas D putra (60-65kg) Sukan SEA 2025 pada 14 Disember di Dewan Impact Forum, Bangkok. - Foto BH oleh KHALID BABA
Aniq ‘Asri Mohammad Yazid (diri) tewas kepada lawan dari Indonesia, Muhammad Zaki Zikrillah Prasong (baring), 40-55 dalam perlawanan suku akhir Kelas C Putra (55-60kg).
Aniq ‘Asri Mohammad Yazid (diri) tewas kepada lawan dari Indonesia, Muhammad Zaki Zikrillah Prasong (baring), 40-55 dalam perlawanan suku akhir Kelas C Putra (55-60kg). - Foto BH oleh KHALID BABA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg