Topik diikuti
Pergi ke BHkuDi sebalik kejayaan Man City: £1.2b beli pemain, £830j tajaan dilebihkan
Di sebalik kejayaan Man City: £1.2b beli pemain, £830j tajaan dilebihkan
Di luar Stadium Etihad, ada patung perak Sergio Aguero yang berkilau untuk menggambarkan sambutan golnya selepas membawa City meraih kemenangan Liga Perdana yang pertama.
Itulah gol paling terkenal dalam sejarah liga bola sepak England — gol pada saat-saat akhir musim 2011-12 yang merampas trofi daripada Manchester United.
Namun bagaimana jika gol itu tidak pernah berlaku? Bagaimana jika Aguero tidak pernah beraksi untuk kelab tersebut? Bagaimana jika City memilih untuk mematuhi peraturan kewangan bola sepak, bukannya sengaja melanggarnya melalui “skim pembiayaan terselindung”?
Pendedahan bahawa kelab itu didapati bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan Liga Perdana tiga tahun lalu membuatkan peminat bola sepak di seluruh dunia mempersoalkan kesahihan pencapaian City antara 2009 dan 2018 — ketika mereka menjadi kelab paling berjaya di England dan mengukuhkan kedudukan dalam kalangan elit bola sepak dunia.
Sesetengah peminat menggelarnya “era langgar peraturan”. Ada kemungkinan City dilucutkan dari kemenangan yang mereka raih dalam tempoh itu, dan beberapa kelab sedang mendapatkan nasihat undang-undang tentang kemungkinan pampasan kewangan.
Justeru, bagaimanakah pendapatan City yang “sangat dibesar-besarkan” mempengaruhi tindakan mereka dalam pasaran perpindahan? Berapa penting pemain yang dibawa masuk? Dan apakah maksud semua ini untuk masa lalu dan masa depan?
Berapa besar belanja Man City sepanjang era langgar peraturan?
Manchester City membelanjakan kira-kira £1.2 bilion ($2.03 bilion) bagi pemain baharu dalam tempoh perpindahan antara musim panas 2009 dan Januari 2018.
Dalam tempoh itu, kelab tersebut memenangi tujuh trofi utama — tiga Liga Perdana, satu piala FA dan tiga Piala EFL — sedangkan sebelum ini mereka tidak meraih sebarang kejayaan penting sejak 1970.
Pemain yang dibeli termasuk antara yang terbaik di dunia, di semua posisi. Ramai antaranya ditandatangani dengan bayaran puluhan juta paun setiap musim panas dan menyumbang besar kepada kejayaan konsisten kelab tersebut.
City bukan sahaja menjana hasil daripada dana penajaan dalam tempoh itu. Pendapatan juga dibelanjakan untuk banyak perkara selain pemindahan pemain — termasuk gaji pemain, utiliti, insurans, infrastruktur, pemasaran, yayasan dan banyak lagi.
Namun angka itu menegaskan bahawa City tidak mungkin dapat membeli pemain sebanyak dan sehebat itu sepanjang era penguasaan mereka jika tidak menjalankan apa yang disifatkan suruhanjaya sebagai “kempen terancang untuk memalsukan” akaun kewangan mereka.
Jika kuasa kewangan City dipotong sebanyak £830 juta tambahan yang menurut suruhanjaya dimasukkan secara palsu ke dalam akaun mereka melalui penajaan — yang sebahagian besarnya dibiayai pemilik — perbelanjaan pemindahan mereka pasti jauh berkurangan.
Ditambahkan pula wang daripada hak imej dan kontrak yang dilaporkan secara palsu, jumlahnya mencecah £920 juta.
Jika jumlah itu dipotong separuh, mungkin mereka hanya dapat membawa masuk separuh daripada jumlah pemain. Atau jumlah yang sama, tetapi mutunya jauh lebih rendah.
Ini bermakna mungkin tiada Aguero, tiada David Silva, tiada Yaya Toure, tiada Kevin de Bruyne — atau sekurang-kurangnya pengurangan ketara dari segi bilangan atau kebolehan pemain yang kurang popular tetapi menjadi komponen penting dalam jentera pemenang trofi itu.
Adakah kejayaan itu dapat dicapai jika pelanggaran peraturan tidak berlaku serentak? Dan apakah kesannya terhadap semua kelab lain yang beraksi dalam Liga Perdana pada masa itu?
Tiada siapa akan tahu. Musim-musim itu tidak boleh diulang semula. Maka keputusan itu wujud seperti realiti bercampur — dunia menyaksikannya berlaku, namun tidak pasti sama ada ia benar-benar “nyata”.
Era itu juga menjadi asas kepada kejayaan City yang berterusan, bermakna lebih banyak trofi dan pendapatan televisyen. Kekecohan keadaan itu turut menimbulkan keraguan tentang masa kini dan masa depan. - Agensi berita.