Topik diikuti
Pergi ke BHkuEPL 2026/27: Siapa bakal kuasai bola sepak England?
Arsenal tampak terus mengancam, pesaing utama Manchester City, Manchester United masih dalam tempoh peralihan; Chelsea, Tottenham dijangka bangkit
Liga Perdana England (EPL) kembali, dan selepas beberapa perpindahan besar, perubahan pengurus serta pelbagai drama, musim baharu ini dijangka menjadi antara yang paling sukar untuk diramal.
Arsenal kembali sebagai juara bertahan, tetapi Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Manchester United semuanya melakukan perubahan besar dan pastinya mahu mencabar di kelompok teratas.
Pasaran perpindahan juga sudah menghasilkan beberapa perpindahan bernilai tinggi, termasuk Morgan Rogers yang menyertai Chelsea, Elliot Anderson ke Manchester City dan Bruno Guimaraes yang berpindah dari Newcastle ke Arsenal.
Dengan sembilan kelab turut memulakan kempen dengan pengurus baharu, persoalan kini tertumpu kepada kelab yang mampu menyesuaikan diri paling pantas dan siapa pula yang berpotensi mencetuskan kejutan.
Daripada Arsenal yang cuba mempertahankan mahkota mereka, Manchester City yang perlu mengharungi era pasca-Pep, projek baharu Chelsea di bawah Xabi Alonso, hingga percubaan Tottengham untuk bangkit di bawah bimbingan Roberto De Zerbi – berikut beberapa pasukan yang wajar diberi perhatian musim ini.
Arsenal: Daripada pemburu kepada yang diburu
Bagi Arsenal, cabaran musim ini berbeza sama sekali.
Selepas menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang kejuaraan liga musim lalu, skuad Mikel Arteta kini perlu membuktikan mereka mampu mengekalkan standard tersebut apabila setiap lawan hadir dengan motivasi tambahan untuk menumbangkan juara bertahan.
Arteta memilih untuk memperkukuh pasukan tanpa melakukan rombakan besar-besaran.
Antara tambahan paling menarik ialah Bruno Guimaraes, yang tiba dari Newcastle.
Pemain tengah Brazil itu memberikan Arsenal lebih banyak kekuatan dan fleksibiliti di bahagian tengah, selain pengalaman memimpin selepas sebelum ini menjadi kapten Newcastle.
Arsenal sudah memberikan amaran awal apabila menewaskan Manchester City 3-0 dalam Perisai Masyarakat pada 16 Ogos.
Namun, kemenangan itu tidak bermakna jikalau mereka tidak dapat pertahankan kejuaraan EPL mereka.
Manchester City: Mulanya era pasca Guardiola
Manchester City pula berdepan dengan cabaran meneruskan perjalanan tanpa Pep Guardiola.
Selepas era yang menyaksikan City mendominasi bola sepak England - di mana City memenangi 20 trofi utama di bawah kendalian Guardiola - kelab itu kini memasuki fasa baharu bersama Enzo Maresca.
City masih memiliki Erling Haaland, Phil Foden dan barisan pemain berkualiti tinggi, tetapi perubahan dalam skuad juga ketara.
Rodri telah meninggalkan kelab untuk menyertai Barcelona, manakala beberapa pemain berpengalaman lain turut berundur.
Sebagai sebahagian daripada usaha membina semula bahagian tengah, City membelanjakan sekitar £116 juta ($200 juta) untuk mendapatkan Elliot Anderson daripada Nottingham Forest.
Anderson dijangka memainkan peranan penting dalam usaha Maresca membentuk semula pasukan.
Namun, persoalan yang lebih besar ialah sama ada City masih mampu beroperasi pada tahap yang sama tanpa Guardiola. Mampukah City, yang mengakhiri musim lalu di tangga kedua memperbaiki kedudukannya pada musim ini.
Manchester United: Mampukah Carrick kekalkan prestasi?
United memasuki musim ini dengan keyakinan yang lebih tinggi selepas menduduki tempat ketiga musim lalu.
Michael Carrick kini diberikan peluang untuk meneruskan tugas secara tetap selepas membantu United mengembalikan kelab itu ke kelompok Liga Juara-Juara.
Namun, kejayaan musim lalu turut meningkatkan jangkaan.
Dengan kemasukan pemain-pemain berpengalaman EPL seperti Andrey Santos dari Chelsea dan Youri Tielemans dari Aston Villa, United berharap skuad mereka akan lebih stabil dan mantap, sekali gus lebih bersedia untuk menghadapi cabaran musim ini.
United perlu membuktikan bahawa peningkatan itu bukan sekadar kesan sementara selepas pertukaran pengurus, sebaliknya permulaan era kebangkitan mereka.
Chelsea: Taruhan besar terhadap Xabi Alonso
Xabi Alonso tiba di Stamford Bridge selepas membina reputasi hebat bersama Bayer Leverkusen, dan kini diberikan tugas besar untuk jadikan Chelsea pencabar EPL semula.
Chelsea turut menunjukkan kesungguhan mereka di pasaran perpindahan.
Morgan Rogers menjadi antara nama terbesar yang menyertai kelab London itu selepas perpindahannya dari Aston Villa bernilai sekitar £117 juta.
Namun, cabaran terbesar ialah masa.
Chelsea bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan sistem Alonso, malah perlu segera memperbaiki kedudukan mereka selepas hanya menamatkan musim lalu di tempat ke-10.
Jika Alonso mampu menggabungkan bakat muda Chelsea dengan struktur taktikalnya, mereka mungkin menjadi salah satu pencabar kelompak empat teratas EPL musim ini.
Tottenham: Jadi ‘kuda hitam’ EPL?
Spurs mungkin menjadi pasukan yang paling menarik untuk diperhatikan jika kita bercakap mengenai kuda hitam.
Di kertas, kedudukan mereka musim lalu - tempat ke-17 - tidak memberikan banyak alasan untuk optimisme.
Tetapi musim baharu bermakna permulaan baharu, dan Tottenham kini mempunyai Roberto De Zerbi sebagai pengurus.
Pengendali Itali itu membawa reputasi sebagai jurulatih yang mahu pasukannya bermain dengan keberanian, penguasaan bola dan identiti taktikal yang jelas.
Lebih menarik, Spurs turut aktif memperkukuh skuad dengan Sandro Tonali dan Mateus Fernandes sebagai antara pemain yang dibawa masuk.
Jika De Zerbi berjaya mendapatkan respons segera daripada pemain-pemainnya, Tottenham berpotensi berubah daripada pasukan kritikan ramai kepada pencabar tempat kelayakan Eropah.
