Topik diikuti
Pergi ke BHkuDi sebalik kejayaan Man City: £1.2b pindah pemain, £830j nilai tajaan diperbesar
Di sebalik kejayaan Man City: £1.2b pindah pemain, £830j nilai tajaan diperbesar
LONDON: Di luar Stadium Etihad Manchester City, ada patung perak Sergio Aguero yang berkilau, dengan mulut ternganga dalam kegembiraan meluap-luap dan jersi berayun di atas kepalanya.
Ia bagi menggambarkan sambutan golnya selepas membawa City meraih kemenangan Liga Perdana England (EPL) yang pertama kelab itu.
Sergio Aguero merupakan bekas pemain bola sepak profesional dari Argentina yang merupakan penjaring gol terbanyak sepanjang masa bagi City.
Itulah gol paling terkenal dalam sejarah liga bola sepak England – gol pada saat-saat akhir musim 2011-12 yang merampas piala daripada Manchester United.
Namun bagaimana jika gol itu tidak pernah berlaku?
Bagaimana jika Aguero tidak pernah beraksi untuk kelab tersebut?
Bagaimana jika City memilih untuk mematuhi peraturan kewangan bola sepak, bukannya sengaja melanggarnya melalui satu “skim pembiayaan terselindung”?
Pendedahan bahawa kelab itu didapati bersalah atas pertuduhan tersebut yang dikemukakan EPL tiga setengah tahun lalu membuatkan peminat bola sepak di seluruh dunia mempersoalkan kesahihan pencapaian City antara 2009 dengan 2018 – ketika mereka menjadi kelab paling berjaya di England dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam kalangan elit bola sepak dunia.
Sesetengah peminat menggelarnya “era tanda asterisk (*)” yang merujuk kepada suatu tempoh masa dalam sukan apabila pencapaian, gelaran, atau rekod sesebuah pasukan atau atlet dipersoalkan dengan hebat serta dianggap tidak sah atau tercemar.
Ada kemungkinan City dilucutkan daripada kemenangan yang mereka raih dalam tempoh itu, dan beberapa kelab sedang mendapatkan nasihat undang-undang tentang kemungkinan pampasan kewangan.
Justeru, bagaimanakah pendapatan City yang “sangat dibesar-besarkan” mempengaruhi tindakan mereka dalam pasaran perpindahan?
Berapa pentingkah pemain yang dibawa masuk? Dan apakah maksud semua ini untuk masa lalu dan masa depan?
Manchester City telah membelanjakan kira-kira 1.2 bilion bilion paun ($2.03 bilion) bagi mendapatkan pemain baharu dalam tempoh perpindahan antara musim panas 2009 dengan Januari 2018.
Dalam tempoh itu, kelab tersebut telah memenangi tujuh piala utama – tiga EPL, satu piala FA dan tiga Piala EFL – sedangkan sebelum ini mereka tidak meraih sebarang kejayaan penting sejak 1970.
Pemain yang dibeli termasuk antara yang terbaik di dunia, di semua posisi.
Ramai antara mereka ditandatangani dengan bayaran puluhan juta paun setiap musim panas dan menyumbang besar kepada kejayaan konsisten kelab tersebut.
City bukan sahaja menjana hasil daripada dana penajaan dalam tempoh itu.
Pendapatan mereka juga dibelanjakan untuk banyak perkara selain pemindahan pemain – termasuk gaji pemain, utiliti, insurans, prasarana, pemasaran, yayasan dan banyak lagi.
Namun, angka itu menegaskan bahawa City tidak mungkin dapat membeli pemain seramai dan sehebat itu sepanjang era penguasaan mereka, jika tidak menjalankan apa yang disifatkan suruhanjaya itu sebagai “kempen terancang untuk memalsukan” akaun kewangan mereka.
Jika kuasa kewangan City dipotong sebanyak 830 juta paun tambahan yang menurut suruhanjaya itu, telah dimasukkan secara palsu ke dalam akaun mereka melalui penajaan – yang sebahagian besarnya dibiayai pemilik – perbelanjaan mereka untuk perpindahan pemain pastinya telah berkurangan dengan jumlah yang besar.
Ditambahkan pula wang daripada hak imej dan kontrak yang dilaporkan secara palsu, jumlahnya mencecah 920 juta paun.
Jika jumlah itu dipotong separuh, mungkin mereka hanya dapat membawa masuk separuh daripada jumlah pemain. Atau jika menggunakan jumlah yang sama, mutu pemainnya pula jauh lebih rendah.
Ini bermakna mungkin tiada Aguero, tiada David Silva, tiada Yaya Toure, tiada Kevin de Bruyne – atau sekurang-kurangnya pengurangan ketara dari segi bilangan atau kebolehan pemain yang kurang popular tetapi menjadi komponen penting dalam jentera pemenang piala itu.
Adakah kejayaan itu dapat dicapai jika pelanggaran peraturan itu tidak berlaku serentak? Dan apakah kesannya terhadap semua kelab lain yang beraksi dalam EPL pada masa itu?
Tiada siapa akan tahu.
Musim-musim itu tidak boleh diulang semula.
Maka keputusan itu wujud seperti realiti bercampur – dunia menyaksikannya berlaku, namun tidak pasti sama ada ia benar-benar “nyata”.
Era itu juga menjadi asas kepada kejayaan City yang berterusan, bermakna lebih banyak piala dan hasil pendapatan daripada televisyen.
Kekecohan keadaan itu turut menimbulkan keraguan tentang masa kini dan masa depan. – Agensi berita.
