LAUSANNE: Pemilihan semula Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino, akan dicabar oleh presiden persekutuan bola sepak Perancis dan Jepun, Philippe Diallo dan Kozo Tashima, menurut badan induk bola sepak dunia itu pada 19 November.

Pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2027 itu bakal menyaksikan Infantino kali pertama dicabar selepas dipilih semula tanpa bertanding pada 2023.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), Diallo, mengumumkan pencalonannya pada 16 November dengan sokongan ahli Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) yang diwakili dalam jawatankuasa eksekutif dan Majlis Fifa.

Tashima telah mengisytiharkan pencalonannya pada awal November dan mengemukakan borang pencalonan secara rasmi pada 18 November.

“Pencalonan tersebut telah dimajukan kepada jawatankuasa pemilihan untuk diteliti dan bagi membuat keputusan mengenai penerimaan calon-calon.

“Ahli-ahli persekutuan akan dimaklumkan mengenai nama calon yang dicadangkan dan diterima selewat-lewatnya pada 18 Februari 2027,” kata Fifa dalam satu kenyataan.

Infantino telah berulang kali berdepan gesaan supaya meletak jawatan sejak cadangan Fifa Forward Enterprise (FFE) untuk menjual pegangan dalam Piala Dunia dan kejohanan utama lain menemui kegagalan.

Namun, anak jati Switzerland berusia 56 tahun itu, yang menyandang jawatan presiden Fifa sejak 2016, menegaskan bahawa beliau mempunyai sokongan yang mencukupi daripada persatuan ahli Fifa di seluruh dunia untuk membolehkannya dipilih semula.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Diallo, yang mengambil alih jawatan presiden FFF pada 2023, memainkan peranan utama apabila Perancis dan persatuan Eropah lain menarik balik sokongan terhadap Infantino pada 2025 susulan kontroversi FFE.

“Berlatarbelakangkan kebimbangan serius terhadap hala tuju Fifa, persatuan kebangsaan menyeru agar perpaduan dan kepercayaan diperbaharui dalam komuniti bola sepak global,” kata Uefa dalam satu kenyataan pada 16 November. -- Reuters

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti