Topik diikuti
Pergi ke BHkuDibelasah Brentford, Pochettino hadapi realiti sukar di Man United
Susuli dua kekalahan 0-4 berturut dalam liga, pengurus baru gesa pemain terima hakikat bahawa pasukan kini berdepan risiko penyingkiran
Dibelasah Brentford, Pochettino hadapi realiti sukar di Man United
MANCHESTER: Mauricio Pochettino berkata beliau “tidak pernah menyangka” Manchester United akan tewas 0-4 dalam dua perlawanan pertamanya sebagai pengurus pasukan itu dalam Liga Perdana England (EPL).
Beliau turut menggesa para pemain menerima hakikat bahawa pasukan itu kini berdepan risiko penyingkiran.
Brentford meraih kemenangan pertama mereka di Old Trafford dalam tempoh 89 tahun pada 28 November, dalam penampilan sulung yang memalukan buat Pochettino di padang sendiri.
United, yang berada di tangga kedua terbawah EPL, juga tewas 0-4 di padang lawan oleh Liverpool hujung minggu lalu.
Ketika menentang Liverpool di Anfield, Pochettino mempunyai alasan untuk menjelaskan kekalahan itu apabila pemain pertahanan, Leny Yoro, dilayangkan kad merah yang mencetuskan kontroversi pada awal perlawanan.
Keadaan itu menyebabkan United terpaksa bermain dengan 10 pemain selama lebih 80 minit.
Namun, kali ini Pochettino tidak mempunyai alasan sedemikian apabila Brentford menguasai perlawanan menerusi dua gol Callum Wilson pada separuh masa pertama, sebelum Kristoffer Ajer dan Kevin Schade menambah dua lagi gol pada penghujung perlawanan.
“Mungkin anda akan bertanya kepada saya: ‘Lebih sukar daripada yang anda jangkakan?’ Sudah tentu, ya, kerana kami tidak pernah menjangkakan keputusan seperti ini,” kata Pochettino.
“Tetapi itulah realiti yang harus kita terima.”
United tidak pernah tersingkir daripada liga utama England sejak 1974. Namun, mereka hanya mencatat satu kemenangan daripada 12 perlawanan liga musim ini dan berisiko jatuh ke tangga corot liga pada 29 November sekiranya Crystal Palace berjaya menewaskan Hull.
“Saya tidak akan sekali-kali menjustifikasikan (keputusan itu), itu tanggungjawab kami. Kami menerima cabaran ini dan menerima bahawa kami perlu terus berusaha, terus bekerja keras dan memberi semangat kepada pemain,” tambah Pochettino.
“Kami masih ada masa. Kami perlu sedar realiti yang dihadapi... kami Manchester United, tetapi anda tidak boleh menang hanya dengan lambang dan sejarah.
“Kami perlu menyaingi lawan dalam semua aspek (permainan) dan kemudian menjadi jauh lebih baik untuk memenangi perlawanan.”
Berbeza dengan suasana muram United, Brentford pula berada di puncak kejayaan.
Walaupun memiliki sumber kewangan yang jauh lebih kecil berbanding United, Brentford kini berada di tangga kelima liga dan hanya ketinggalan satu mata daripada empat tangga teratas. Mereka juga berpeluang melayakkan diri ke kejohanan Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab.
“Kami datang dari serata dunia sebenarnya apabila anda meneliti satu persatu, dan kami bercakap tentang itu sepanjang masa, tentang mempunyai rasa hormat yang mendasar antara satu sama lain, budaya kami, agama kami, apa sahaja,” kata pengurus Brentford, Keith Andrews.
“Tetapi apabila kami bersatu, kami sebuah pasukan yang cukup istimewa.
“Sebelum perlawanan, saya sudah mengingatkan pemain tentang perkara itu dan saya mengulanginya sekali lagi selepas perlawanan.
“Kami sepatutnya berasa amat bangga dengan perjalanan kami setakat ini dan kedudukan yang telah kami capai,” tambahnya. – AFP.