Topik diikuti
Pergi ke BHkuPochettino pertahan komitmen pemain Man U meski dibelasah Liverpool
Tegaskan pemain tunjuk semangat juang walau kalah 0-4
Pochettino pertahan komitmen pemain Man U meski dibelasah Liverpool
LIVERPOOL: Mauricio Pochettino menegaskan pemain Manchester United telah menunjukkan semangat juang dan komitmen walaupun dibelasah 0-4 di tangan Liverpool pada perlawanan pertamanya mengetuai pasukan itu.
Beliau turut menepis dakwaan bahawa prestasi buruk kelab itu boleh menyebabkan mereka tersingkir.
United kekal di tangga ke-19 Liga Perdana England (EPL) dengan hanya satu kemenangan daripada 11 perlawanan, susulan kekalahan teruk di Anfield pada 22 November.
Kad merah yang diterima Leny Yoro pada minit kelapan menyebabkan pasukan United terpaksa berjuang dalam keadaan tertekan selama lebih 80 minit.
“Kita perlu menerima hakikat ini dan kita perlu bertanggungjawab, kita perlu bersatu, kita perlu bersama-sama,” kata Pochettino, apabila ditanya apa yang telah dipelajarinya tentang betapa besarnya cabaran yang dihadapinya.
“Apa yang saya pelajari daripada pemain saya ialah mereka suka berjuang, mereka komited dengan pasukan, dengan kelab dan sudah tentu mereka mahu memenangi perlawanan. Mereka mahu berusaha bersungguh-sungguh.
“Hari ini adalah satu ujian yang, pada pandangan saya, amat positif. Selepas lapan minit, 10 pemain, kad merah, kebolosan gol dalam aksi itu dan kemudian terpaksa bermain lagi 80 minit. Adakah anda fikir itu mudah?”
Kekalahan itu merupakan antara yang paling teruk bagi seorang pengurus United pada perlawanan pertamanya mengetuai pasukan, menyamai kekalahan 0-4 kepada Bolton Wanderers yang dialami oleh Lal Hilditch pada 1926.
Jurulatih dari Argentina itu dilantik selepas Michael Carrick dipecat. Beliau tiba di Manchester pada 18 November selepas meninggalkan tugas bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat.
Menurutnya, kad merah yang diterima Yoro telah mengubah corak keseluruhan perlawanan. Beliau menyentuh tentang insiden itu beberapa kali ketika mengulas prestasi pasukannya.
“Malah pasukan terbaik di dunia sekalipun, jika bermain dalam situasi seperti ini, dalam keadaan seperti kami, mungkin akan kebolosan empat gol atau mungkin lebih lagi.”
Pochettino turut mempersoalkan keputusan kad merah itu sendiri, dengan berhujah bahawa penyerang Liverpool, Alexander Isak, tidak mempunyai kawalan penuh ke atas bola ketika dijatuhkan oleh Yoro.
Mantan kapten United, Roy Keane, antara mereka yang tidak berpuas hati dengan usaha mencari sisi positif daripada kekalahan itu, sambil mempersoalkan mengapa penyokong United yang masih berada di stadium ketika wisel penamat dibunyikan masih bertepuk tangan untuk para pemain.
“Peminat bertepuk tangan untuk pemain, bertepuk tangan untuk apa? Bila pemain akan bertanggungjawab atas sesetengah keputusan yang mereka buat?” tanya Keane.
Namun, Pochettino enggan memikirkan kritikan atau persoalan lebih luas mengenai rekod pertahanan United, selepas pasukan itu kebolosan empat gol buat kali ketiga musim ini merentasi semua pertandingan.
“Memang mengecewakan apabila tewas 4-0. Namun, anda perlu melihat situasi sebenar,” katanya.
“Kita tidak akan kalah lebih teruk daripada hari ini dalam mana-mana perlawanan lain. Kita ada banyak kerja yang perlu dilakukan.”
Dengan perjalanan ke Portugal untuk menentang Sporting Liga Juara-Juara pada 25 November, Pochettino berkata mesejnya di dalam bilik persalinan adalah mudah.
“Mereka sangat, sangat, sangat rendah semangat. Tetapi saya berkata, ‘pandang ke hadapan, dan kita perlu terus berusaha, fokus, cuba pergi ke Portugal dan cuba menang perlawanan itu’,” katanya. – Reuters.