Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Djokovic masih dihantui peristiwa diharam masuk ke Australia pada 2022

Bekas pemain tenis nombor satu dunia akur alami ‘traumi’ diperintah keluar dari Australia kerana tidak mendapatkan vaksin Covid-19.
Jan 6, 2025 | 3:25 PM
Novak Djokovic tidak dibenarkan memasuki Australia pada 2022 kerana enggan mendapatkan vaksin Covid-19. Perintah mahkamah itu kini telah ditarik balik.
Novak Djokovic tidak dibenarkan memasuki Australia pada 2022 kerana enggan mendapatkan vaksin Covid-19. Perintah mahkamah itu kini telah ditarik balik. - Foto oleh REUTERS

SYDNEY: Novak Djokovic mengakui masih berasa tertekan apabila mendarat di lapangan terbang Melbourne selepas diperintah keluar dari Australia tiga tahun lalu kerana enggan mendapatkan vaksin Covid-19.

Visa untuk memasuki Australia milik Juara Grand Slam 24 kali itu dibatalkan beberapa hari menjelang Terbuka Australia 2022 kerana Djokovic enggan divaksin.

“Saya perlu berterus terang,” kata Djokovic dalam wawancara dengan akhbar Herald Sun Melbourne.

“Beberapa kali terakhir saya mendarat di Australia, untuk melalui kawalan pasport dan imigresen - saya mengalami sedikit trauma sejak tiga tahun lalu.

“Sebagai contoh, apabila saya melepasi kawalan pasport, saya cemas jika ada petugas imigresen yang menghampiri saya.

“Orang yang menyemak pasport saya - adakah mereka akan menangkap saya, menahan saya lagi atau melepaskan saya? Saya mesti mengakui saya mempunyai perasaan itu.”

Pemain tenis asal Serbia itu kembali ke Melbourne Park pada 2023 apabila penularan Covid-19 reda dan keluar dari Australia sebagai juara selepas memenangi gelaran Terbuka Australia tahun itu, kejuaraan ke-10 bagi dirinya.

“Saya tidak menyimpan sebarang kebencian, sejujurnya,” tambah pemain berusia 37 tahun itu. “Saya tidak menyimpan dendam. Saya datang serta-merta tahun itu selepas (larangan perjalanan ke Australia ditarik balik) ... dan saya menang.

“Ibu bapa saya dan seluruh pasukan berada di sana dan ia sebenarnya adalah salah satu kemenangan paling emosional yang pernah saya alami memandangkan semua yang saya lalui tahun sebelumnya.”

Djokovic, yang menduduki tangga ke tujuh dalam ranking dunia, memburu rekod memenangi kejuaraan utama ke-25 di Terbuka Australia 2025.– Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg