Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nadal akhiri kerjaya dengan kekecewaan di Piala Davis

Nov 20, 2024 | 4:53 PM
Rafael Nadal beraksi semasa perlawanan menentang Botic van de Zandschulp dari Belanda di Malaga, Sepanyol.
Rafael Nadal beraksi semasa perlawanan menentang Botic van de Zandschulp dari Belanda di Malaga, Sepanyol. - Foto REUTERS

MALAGA (Sepanyol): Rafael Nadal tidak dapat mewujudkan pertandingan penutup kerjayanya seindah kisah dongeng seperti yang ramai bayangkan.

Juara Grand Slam sebanyak 22 kali itu tunduk dengan kekalahan dalam Piala Davis pada malam penuh emosi dan sebak di Malaga pada 19 November.

Ramai peminat tidak sabar untuk melihat detik-detik terakhir beliau beraksi sebelum menggantungkan raket.

Detik bersejarah tersebut membuat kapten pasukan Sepanyol, David Ferrer, memutuskan untuk menampilkan Nadal di awal pertandingan.

Keghairahan dan minda jaguh berusia 38 tahun itu lincah seperti biasa tetapi beliau gagal menandingi pencabarnya yang lebih muda dan tewas 4-6, 4-6 kepada pemain Belanda, Botic van de Zandschulp, dalam apa yang disifatkan sebagai pertarungan kompetitif terakhirnya.

Bintang tenis muda Sepanyol, Carlos Alcaraz, bagaimanapun menyamakan kedudukan pertarungan suku akhir itu apabila menewaskan Tallon Griekspoor 7-6 (7-0), 6-3 di acara perseorangan kedua.

Alcaraz juga bakal beraksi dalam acara beregu dengan Marcel Granollers. Jika mereka berjaya menewaskan pasangan Wesley Koolhof dan Van de Zandschulp, maka Sepanyol akan mara ke separuh akhir.

Nadal sepatutnya memiliki satu peluang lagi untuk turun ke gelanggang dalam separuh akhir pada 22 November menentang Jerman atau Canada.

Namun, Koolhof yang memutuskan untuk gantung raket setelah kejohanan tersebut bermain dengan cemerlang semasa berganding dengan de Zandschulp untuk memusnahkan impian Nadal dan Sepanyol dengan kemenangan 7-6 (7-4), 7-6 (7-3).

Nadal memberi sokongan kepada gandingan rakan senegaranya itu dari luar gelanggang tetapi kelihatan kecewa impiannya untuk menjulang sekali lagi kejuaraan Piala Davis musnah di tangan Belanda.

Jaguh asal Mallorca itu, yang telah membantu Sepanyol menjuarai Piala Davis sebanyak empat kali sebelum ini, kelihatan sebak ketika lagu kebangsaan negaranya dimainkan sebelum pertarungan.

“Saya hanya seorang anak berasal dari sebuah kampung kecil yang beruntung kerana bapa saudara saya adalah seorang jurulatih tenis dan mempunyai keluarga yang menyokong saya,” kata Nadal.

“Ramai orang bekerja keras, tetapi saya adalah salah seorang yang bertuah kerana kehidupan memberi saya peluang untuk menjalani pengalaman yang tidak dapat dilupakan, kesemua kerana sukan tenis.

“Saya hanya mahu dikenang sebagai individu yang baik... yang mengejar impiannya.”

Nadal telah memenangi 29 daripada 30 pertarungan perseorangan sebelumnya dalam acara berpasukan, satu-satunya kekalahan sebelum ini dalam perlawanan pertamanya pada 2004.

Beliau mengumumkan pada Oktober bahawa beliau akan mengakhiri kerjaya tenisnya selepas perlawanan akhir Piala Davis.

Peminatnya di Malaga, kebanyakan memakai selendang dengan tulisan ‘Gracias Rafa’, berdiri untuk memberi hormat kepadanya yang dianggap antara atlet terhebat yang pernah dilahirkan Sepanyol. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg