MONTE CARLO: Novak Djokovic meluahkan rasa teramat kecewa selepas beliau disingkirkan dalam pusingan kedua pertandingan tenis Masters Monte Carlo pada 9 April.
Djokovic, 37 tahun, yang masih mengalami jangkitan mata, tewas 3-6, 4-6 di tangan Alejandro Tabilo.
Jangkitan tersebut menjejas persiapan Djokovic sejak di peringkat separuh akhir Terbuka Miami pada akhir Mac, dan ia membuat beliau merendahkan jangkaan untuk pertandingan di Monte Carlo itu.
Jangkaan itu menjadi kenyataan apabila Tabilo, yang turut mengalahkan Djokovic dalam pertandingan Masters Rome 2024, berjaya mengatasi juara Grand Slam 24 itu buat kali kedua.
“Sungguh mengecewakan. Teruk rasanya bermain sebegini, dan saya hanya dapat memohon maaf kepada sesiapa yang terpaksa menyaksikan perlawanan ini,” kata Djokovic.
Pemain tenis Serbia itu, yang sedang mengejar piala Persatuan Pemain Tenis Profesional ke-100, belum menang apa jua pertandingan sejak meraih pingat emas di Olimpik Paris 2024.
Namun, Djokovic menepis sebarang keraguan tentang kesihatannya dan berkata beliau akan menumpukan perhatian sepenuhnya pada Terbuka Perancis.
Beliau akan bertanding di Terbuka Madrid buat pertama kali sejak 2022. Pertandingan itu akan berlangsung dari 22 April hingga 4 Mei.
“Saya jangkakan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya prestasi yang mencukupi. Bukan hambar seperti ini. Ia sungguh mengecewakan,” kata Djokovic, yang pernah ke peringkat separuh akhir di Monte Carlo pada 2015.
Tabilo, yang menduduki ranking ke-32 dunia, akan berdepan pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov, yang mengalahkan Valentin Vacherot 4-6, 6-3, 6-1 dalam pusingan seterusnya pada 10 April. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg