NEW YORK: Meskipun suhu hampir mencecah 38 darjah Celsius di Stadium Arthur Ashe, di New York, ia tidak menghalang Novak Djokovic menewaskan Taylor Fritz 6-1, 6-4, 6-4 pada Rabu untuk melangkah ke separuh akhir tenis Terbuka Amerika Syarikat.
Dengan ini, pemain Serbia berusia 36 tahun itu mengatasi rekod Roger Federer sebagai pemain paling banyak beraksi – 47 kali – di separuh akhir kejohanan utama.
Djokovic juga meneruskan misi bagi menyamai rekod 24 gelaran Grand Slam yang disandang Margaret Court, dan bakal menentang Frances Tiafoe, atau Ben Shelton, pada Sabtu.
Beliau berkata: “Ini adalah sukan yang telah banyak menyumbang kepada kehidupan saya. Saya dari Serbia, negara yang dilanda peperangan semasa saya membesar jadi saya menghadapi banyak cabaran.
“Saya bernasib baik kerana dapat berganding bahu dengan individu yang sangat berpengetahuan dan bersemangat.
“Tanpa sokongan mereka, dan ibu bapa saya, saya tidak akan berada di sini tanpa pengorbanan dan kasih sayang mereka.”
Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka AS untuk kali ke-13 dan kini mencatat rekod kemenangan 12-0 ke atas Fritz, pemain Amerika yang bermain di hadapan penyokong sendiri.
“Sudah tentu orang ramai akan menyokong pemain dari negara tuan rumah dan itu tidak salah,” kata Djokovic.
“Saya sebenarnya suka tenaga, suka suasana gelanggang tengah di sini. Sesi siang, (mahupun) sesi malam, orang ramai memberi sorakan gemuruh.
“Saya tiada masalah dengan hal itu. Saya lebih bersemangat dengan tenaga itu dan cuba menggunakannya sebagai pembakar semangat.
“Saya telah bermain di gelanggang ini bertahun-tahun, begitu banyak perlawanan epik, saya tidak sabar untuk satu lagi (perlawanan epik) dalam beberapa hari,” tambah Djokovic.
Beliau berkata setiap kali melangkah masuk ke dalam gelanggang pada usia dan peringkat hidupnya sekarang adalah satu peluang terbesar.
“Saya tak tahu berapa banyak lagi peluang yang saya akan dapat, jadi saya cuba menikmati aksi ini sebaik mungkin.”
Awal dari itu, Coco Gauff, 19 tahun, menewaskan Jelena Ostapenko dari Latvia 6-0, 6-2, sekali gus menjadi pemain Amerika paling muda mara ke separuh akhir kejohanan itu sejak Serena Williams pada 2001.
Fritz tidak dapat meneruskan rentak kemenangan pemain tuan rumah, walaupun pemain berusia 25 tahun itu mempunyai beberapa peluang.
Beliau melakukan 51 kesilapan sendiri, hampir dua kali ganda lebih banyak daripada Djokovic yang membuat 26 kesilapan.
Beliau tidak pernah menewaskan pemain yang berada di 10 tangga teratas dunia dalam pertandingan Grand Slam tetapi mara ke suku akhir dengan prestasi cemerlang. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg