NEW YORK: Penyandang juara Terbuka Amerika Syarikat, Carlos Alcaraz, meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir pertandingan itu setelah menewaskan Matteo Arnaldi 6-3, 6-3, 6-4 pada Isnin.
Pemain tenis asal Sepanyol itu menunjukkan prestasi cemerlang bagi mengalahkan Arnaldi, pemain asal Italy yang menduduki tangga ke-61 dunia.
Alcaraz disebut-sebut sebagai pemain yang boleh menggondol kejuaraan Terbuka Amerika buat kali kedua berturut-turut dan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2022.
Ini menjadikan jaguh berusia 20 tahun itu pemain pertama sejak Roger Federer yang meraih pencapaian serupa pada 2008.
Alcaraz bakal berhadapan dengan Alexander Zverev dari Jerman atau Jannik Sinner dari Italy di pusingan suku akhir pada Rabu.
Sekiranya berhadapan dengan Sinner, ia merupakan ulangan kepada suku akhir Terbuka Amerika pada 2022.
Alcaraz berkata: “Saya rasa intensiti dari mula hingga detik akhir saya bermain (dalam) perlawanan adalah baik... saya tidak banyak buat kesilapan.
“Saya sangat gembira dengan prestasi saya secara keseluruhannya.”
Dalam perlawanan lain perseorangan lelaki pada Isnin, Jack Draper turut mara ke peringkat seterusnya dan akan menentang Andrey Rublev manakala juara 2021, Daniil Medvedev, bakal berhadapan dengan Alex de Minaur.
Sementara itu dalam perseorangan wanita, hasrat pemain tuan rumah, Jessica Pegula, mara ke peringkat seterusnya terbantut setelah kalah di tangan rakan senegara, Madison Keys.
Pegula telah meletakkan impian untuk merangkul Grand Slam pertamanya di sini – didorong kemenangannya dalam Terbuka Canada di Montreal pada Ogos.
Namun impian pemain berusia 29 tahun itu tidak kesampaian setelah tewas 1-6, 3-6 dalam masa 61 minit.
Keys berkata: “Ia sememangnya sukar menentang rakan sendiri tetapi kami telah melakukannya seumur hidup kami pada saat ini.
“Apabila berada di gelanggang, kami menjadi seteru dan apabila kami keluar gelanggang, kami menjadi rakan kembali.”
Beliau, yang menduduki tangga ke-17 dalam kedudukan pemain terbaik dunia bagi wanita, bakal menentang juara Wimbledon, Marketa Vondrousova, dari Republik Czech dalam perlawanan suku akhir pada Rabu.
Vondrousova menempah tempat dalam suku akhir setelah mengalahkan Peyton Stearns 6-7 (3/7), 6-3, 6-2.
Beliau mencipta sejarah pada Julai selepas menjadi pemain pertama yang tidak berada dalam ranking dunia untuk menjulang kejuaraan Wimbledon – Grand Slam pertamanya.
Pemain berusia 24 tahun itu tidak pernah melepasi pusingan keempat di Terbuka Amerika dan akur beliau agak terkejut dapat mara jauh dalam penampilannya kali ini.
“Beliau (Stearns) bermain dengan hebat dari detik permulaan dan saya hanya cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan.
“Saya sangat teruja. Saya sebenarnya tidak menjangkakannya selepas Wimby (Wimbledon), terdapat tekanan yang hebat. Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini,” jelas Vondrousova.
Dua lagi finalis suku akhir wanita bakal ditentukan dengan Aryna Sabalenka – yang disebut-sebut sebagai pengganti Iga Swiatek sebagai pemain nombor satu dunia selepas kekalahan Swiatek pada Ahad – menentang Daria Kasatkina.
Ons Jabeur dari Tunisia pula akan berhadapan dengan Zheng Qinwen dari China. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg