ATLANTA: Penampilan pertama Republik Demokratik (DR) Congo di Piala Dunia pada 1974 meninggalkan parut dalam sejarah bola sepak negara itu.

Lebih setengah abad kemudian, mereka akhirnya memadamkan kenangan pilu itu dengan melangkah ke pusingan kalah mati di Stadium Atlanta di Georgia, Amerika Syarikat, pada 28 Jun (waktu Singapura). 

Pemain DR Congo terduduk di padang, bagaikan mimpi, sebelum meraikan kemenangan bersejarah 3-1 ke atas Uzbekistan, sekali gus memastikan tempat mereka dalam pusingan 32 pasukan terakhir, selepas mereka muncul sebagai salah satu daripada lapan pasukan terbaik di tangga ketiga kumpulan yang layak mara.

Pengalaman menyertai Piala Dunia pertama mereka tidak dapat dilupakan atas sebab yang tidak membanggakan, namun 52 tahun kemudian, DR Congo menunjukkan kehandalan mereka dalam kejohanan itu. 

Pada 1974, ketika negara itu masih dikenali sebagai Zaire, mereka tersingkir dalam keadaan yang memalukan selepas tiga kekalahan tanpa sebarang gol, dengan gawang mereka dibolosi 14 gol, termasuk dibelasah teruk 9-0 oleh Yugoslavia.

Pada 2026, DR Congo memulihkan imej mereka dalam perlawanan pertama Kumpulan K menentang Portugal, menjaringkan gol Piala Dunia pertama mereka dan meraih mata pertama apabila membendung Cristiano Ronaldo dan rakan-rakannya dengan keputusan seri 1-1.

DR Congo kemudian tewas 1-0 kepada Colombia, tetapi mereka tahu kemenangan menentang Uzbekistan akan membawa mereka ke pusingan seterusnya dan mereka menyempurnakannya walaupun ketinggalan satu gol pada masa rehat. 

DR Congo tiba di Amerika dalam bayang-bayang wabak Ebola yang mengganggu persediaan, dengan tidak banyak yang dijangkakan daripada pasukan yang memerlukan 13 perlawanan untuk layak, termasuk kemenangan antara konfederasi ke atas Jamaica selepas masa tambahan. 

Penampilan Piala Dunia sulung mereka berlaku 14 tahun selepas kemerdekaan daripada Belgium dan selepas kempen kelayakan pertama mereka.

Mereka berkunjung ke Jerman Barat berikutan kemenangan Piala Afrika Negara Kedua, tetapi kemuncak kegemilangan itu nampaknya tidak mungkin berulang.

Namun kini, mereka telah memulihkan kebanggaan sebuah negara yang telah lama dilanda perang, kekacauan politik dan keadaan terkini, kecemasan perubatan. 

Seperti banyak negara Afrika, DR Congo telah memanfaatkan rakyat mereka yang menetap di luar negara dengan baik, dan itu jelas kelihatan di atas padang mahupun di dalam stadium pada 27 Jun.

Pada 1974, mereka adalah wakil tunggal Afrika. 

Kini, benua itu mempunyai 10 pasukan yang terlibat, dua kali ganda bilangan pada Piala Dunia yang lalu berkat pengembangan kejohanan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) kepada 48 peserta, dan pasukan-pasukan itu telah membuktikan bahawa mereka sangat layak berada di sini.

Lapan pasukan Afrika kini telah melangkah ke pusingan kalah mati, dengan Tunisia sebagai satu-satunya pasukan yang tersingkir dan Algeria masih dalam persaingan. 

Ganjaran DR Congo adalah satu lagi perlawanan di Atlanta menentang juara Kumpulan L, England, pada 1 Julai. – Reuters.