Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua dekad setia bersama Singa: Omar Mohamed bukti dedikasi dan komitmen
Dua individu di belakang tabir yang turut mainkan peranan penting dalam perkembangan bola sepak negara
standfirst: Di sebalik perjuangan pasukan Singa di padang, ada beberapa individu yang sentiasa berada di sisi mereka, sentiasa menjaga dan memberi sokongan agar pasukan negara dapat beraksi dalam keadaan terbaik. Berita Minggu (BM) bertemu bual dengan Pegawai Kanan Peralatan Pasukan Kebangsaan, Omar Mohamed, dan ahli fisioterapi, Nurhafizah Abu Sujad, tentang peranan mereka, hubungan yang terjalin bersama pemain serta mengapa tugas ini begitu dekat di hati mereka.
Selama hampir dua dekad, Omar Mohamed bukan sekadar individu yang bertanggungjawab menjaga jersi dan kelengkapan pasukan Singa.
Beliau telah menyaksikan sendiri perjalanan pasukan kebangsaan Singapura – daripada era pemain ternama seperti Fandi Ahmad dan Noh Alam Shah, kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki pada 2012, sehinggalah kepada kemunculan generasi baru yang kini sedang membina semula keyakinan selepas melalui pelbagai cabaran dan turun naik.
Pada November ini, Omar, 68 tahun, bakal menyambut 20 tahun bersama pasukan kebangsaan – satu tempoh yang cukup lama untuk beliau melihat sendiri perubahan besar dalam bola sepak Singapura.
Dari sudut beliau, perkara paling ketara tentang pasukan hari ini bukanlah semata-mata keputusan perlawanan dan kejohanan.
Sebaliknya, apa yang lebih menyerlah ialah semangat juang yang kini semakin jelas dalam kalangan pemain.
“Sekarang yang lebih kuat adalah perjuangan, kerja keras dan disiplin mereka,” katanya apabila ditanya tentang perbezaan antara generasi dahulu dengan pasukan kini.
“Dengan cara jurulatih Gavin (Lee) beri semangat, semua, daripada pemain ke kakitangan pasukan, terdorong untuk lakukan yang terbaik buat satu sama lain,” kata Pegawai Kanan Peralatan itu.
Menurutnya, dahulu permainan lebih bergantung kepada kebolehan individu. Namun pasukan hari ini memerlukan lebih banyak kerja berpasukan, persediaan dan disiplin untuk mencapai kejayaan.
Namun, apa yang membuatnya paling bangga ialah sikap pemain yang enggan menyerah – walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka.
Antara pemain yang menggalas tanggungjawab membakar semangat pasukan adalah kapten Singa, Hariss Harun.
Omar mengenali Hariss sejak pemain itu baru berusia 15 tahun.
Kini, selepas melihat pemain itu melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, Omar melihat seorang pemain yang bukan sahaja matang sebagai individu, bahkan turut berkembang menjadi pemimpin kepada generasi baru.
“Perwatakan beliau semula jadi, beliau menghormati orang di sekelilingnya, dan itu yang diajar kepada pemain baru” katanya.
Omar menceritakan bagaimana Hariss selalunya akan tanya khabar dan mengambil berat tentang urusan luar padang juga.
Pengalaman beliau menyaksikan Hariss membesar dari seorang remaja menjadi kapten negara merupakan sesuatu yang dekat di hati.
Tugas Omar mungkin tidak kelihatan glamor.
Tetapi sebelum pemain turun ke padang, beliau sudah memastikan segala-galanya tersedia supaya pemain hanya perlu memikirkan satu perkara – bermain bola sepak.
Baginya, kesilapan kecil boleh memberi kesan besar kepada pemain.
Walaupun perkara seperti memeriksa nama pada jersi atau memastikan stoking pemain sudah dipotong mengikut kehendak masing-masing mungkin kelihatan remeh, ia sebenarnya sebahagian usaha memastikan pemain berada dalam keadaan paling selesa untuk memberi tumpuan kepada perlawanan.
November nanti, Omar akan mencapai dua dekad bersama pasukan kebangsaan.
Pada usia 68 tahun, beliau mengakui tenaga tidak lagi seperti dahulu, tetapi beliau masih mahu membantu selagi mampu.
Cintanya kepada bola sepak masih menjadi sebab utama beliau terus bertahan.
“Minat dan cinta kepada bola sepak negara. Itu yang mendorong saya untuk terus berkhidmat,” katanya sambil tersenyum lebar.
